KOTA KINABALU: Umat Islam di negeri ini diseru menghayati semangat hijrah untuk bermuhasabah, memperbaiki kelemahan, meningkatkan ilmu pengetahuan, memperkukuhkan akhlak dan mempererat hubungan sesama insan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Sehubungan itu, beliau berharap agar sambutan Maal Hijrah menjadi wadah yang mampu mengeratkan jalinan ukhuwah sekali gus memacu iltizam dan tekad baharu untuk memperkukuhkan kesatuan dan perpaduan ummah.
“Sambutan Maal Hijrah yang menjadi amalan kita setiap tahun bukan sekadar memperingati perpindahan Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah, tetapi juga menjadi simbol transformasi, pengorbanan dan pembaharuan ke arah kehidupan yang lebih baik.
“Sebagai umat Islam, kita perlu mengambil ibrah daripada peristiwa Hijrah Rasulullah SAW, iaitu kejayaan baginda mengembangkan syiar Islam dan pada masa sama menubuhkan kerajaan Islam yang pertama di Madinah.
“Baginda menitikberatkan kepimpinan yang seimbang antara kemajuan material dengan pembangunan insan,” katanya sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah 2026M/1448H di sini pada Rabu.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Sejajar dengan tema Maal Hijrah tahun ini, ‘Madani Dihayati, Ummah Diberkati’, Hajiji berkata tema itu menepati usaha kerajaan dalam mengajak rakyat hidup bersatu padu serta saling hormat-menghormati.
“Konsep umat Madani lahir daripada ikhtiar untuk meneladani kejayaan Rasulullah SAW menyatupadukan kaum Ansar dan Muhajirin, hidup dalam kesatuan serta membangun dengan cemerlang dalam persaudaraan Islam.
“Saya percaya dengan menjadikan nilai-nilai Islam sebagai inspirasi moral dan etika dalam kehidupan bernegara, kita mampu menjadi contoh masyarakat Madani yang lahir daripada peradaban yang berilmu, berintegriti dan berjiwa besar,” katanya.
Beliau turut berharap tahun baharu 1448 Hijrah membawa harapan dan keberkatan kepada umat Islam walaupun dunia kini berdepan pelbagai cabaran dan pergolakan.
“Krisis di Timur Tengah, misalnya, yang melibatkan kuasa-kuasa besar amat menggusarkan kita. Lebih menyedihkan, peperangan yang berlaku itu melibatkan saudara seagama dengan kita.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita berharap perjanjian damai antara Amerika Syarikat dan Iran yang dijangka dimeterai pada Jumaat ini dapat menghentikan pergolakan serta peperangan di rantau berkenaan demi keamanan dan keselamatan yang berkekalan,” katanya.




