UMS Komited Jamin Proses Adil, Telus dan Saksama Dalam Tindakan Tatatertib Babit...

UMS Komited Jamin Proses Adil, Telus dan Saksama Dalam Tindakan Tatatertib Babit Dua Pelajar

0
SHARE

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) komited menjamin agar proses tindakan tatatertib terhadap dua pelajar mereka dilaksanakan dengan adil, telus dan saksama.

UMS dalam satu kenyataan menerusi Pusat Komunikasi Korporat hari ini berkata, pihak mereka mengambil maklum pelbagai pandangan yang dikemukakan berhubung proses tindakan yang sedang dilaksanakan itu.

“Proses tersebut dimulakan berdasarkan maklumat dan laporan yang diterima daripada pihak berkuasa.

“UMS ingin menegaskan bahawa proses yang sedang berjalan ini bertujuan memberi ruang kepada pihak-pihak yang berkaitan untuk mengemukakan penjelasan serta membolehkan universiti meneliti semua fakta dan maklumat yang relevan.

“Universiti komited untuk memastikan setiap pelajar diberikan peluang yang adil dan sewajarnya selaras dengan prinsip keadilan, tadbir urus yang baik dan peraturan universiti yang berkuat kuasa,” jelas kenyataan itu.

Tambah UMS, sebagai institusi pendidikan tinggi awam, pihaknya sentiasa mendukung aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi dalam melahirkan mahasiswa yang berilmu, berfikiran kritis, berintegriti dan bertanggungjawab.

“Universiti juga percaya bahawa penglibatan mahasiswa dalam isu-isu masyarakat merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran dan pembangunan kepimpinan.

“Pada masa yang sama, semua warga universiti mempunyai tanggungjawab untuk menghormati undang-undang, peraturan yang berkuat kuasa serta nilai-nilai yang mendasari keharmonian dan kesejahteraan masyarakat,” tegas kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, UMS memohon kerjasama semua pihak untuk menghormati proses yang sedang berjalan dan memberi ruang kepada universiti melaksanakan tanggungjawabnya secara profesional, adil dan saksama.

Terdahulu, dua mahasiswa UMS iaitu Fidaa’ Ahmad Fahmi dan Abdul Qayyum menerima notis prosiding tatatertib yang dijadualkan berlangsung pada 9 Julai depan.

Notis berkenaan disampaikan oleh Pejabat Penasihat Undang-Undang UMS susulan penglibatan mereka dalam protes perobohan rumah di Kudat.