KUCHING: Sabah dan Sarawak bersetuju memperkukuh kerjasama strategik dalam pelbagai sektor termasuk pembangunan perindustrian, perdagangan, pengangkutan, utiliti serta pelabuhan bagi mempercepat pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh daya saing wilayah Borneo.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, kedua-dua negeri saling memerlukan antara satu sama lain dan kerjasama yang lebih tersusun amat penting bagi merealisasikan agenda pembangunan ekonomi serantau.
“Kita membincangkan keperluan kerjasama yang lebih erat antara Sarawak dan Sabah, terutama dalam perkara yang melibatkan kedua-dua pihak seperti road connectivity, utility connectivity, port connectivity dan banyak lagi termasuk pembangunan perindustrian.
“Sabah memerlukan Sarawak dan Sarawak juga memerlukan Sabah untuk memastikan wilayah Borneo ini dapat membangun dengan lebih baik melalui kerjasama yang lebih erat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, di sini, pada Jumaat.
Menurut Ewon, hasil pertemuan itu turut menyaksikan persetujuan kedua-dua pihak untuk memformalkan kerjasama berkenaan melalui penyelarasan di peringkat pegawai kanan antara Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRADE) Sarawak.
“Kita bersetuju untuk memformalkan kerjasama ini dan ia akan dimulakan di peringkat pegawai kanan kementerian di Sarawak dan juga kementerian kita di Sabah.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Amar Awang Tengah atas pertemuan ini dan saya menantikan mesyuarat seterusnya serta kerjasama yang lebih erat selepas ini,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan perindustrian di Sabah dan Sarawak mempunyai hubungan yang saling melengkapi, justeru penyelarasan yang lebih sistematik diperlukan bagi memanfaatkan sepenuhnya potensi ekonomi kedua-dua negeri.
Katanya, industri hiliran berasaskan kelapa sawit di Sarawak memerlukan bekalan bahan mentah dari Sabah, manakala pembangunan industri di Sabah pula bergantung kepada bekalan utiliti dari Sarawak.
“Begitu juga dengan soal penyelarasan di kawasan sempadan. Ada sebahagian bahan binaan dari utara Sarawak yang perlu melalui Pelabuhan Sepanggar di Sabah.
“Ini antara perkara yang kita bincangkan dan ia sememangnya memerlukan satu kerjasama yang lebih formal antara kedua-dua kerajaan negeri,” katanya.
Selain pembangunan perindustrian, Ewon berkata kerjasama lebih rapat juga diperlukan bagi memperkukuh hubungan pengangkutan darat, laut dan udara serta penyelarasan berkaitan perundangan di kawasan sempadan bagi melancarkan pergerakan barangan dan meningkatkan perdagangan rentas sempadan.
Beliau berkata, kunjungan itu merupakan lawatan rasmi pertamanya ke Sarawak selepas kembali menyertai Kerajaan Sabah dan yakin hubungan yang lebih kukuh antara kedua-dua negeri mampu membuka lebih banyak peluang pelaburan serta mempercepat pembangunan wilayah Borneo.
“Saya yakin hubungan erat seperti ini antara Sarawak dan Sabah akan dapat menjayakan agenda perdagangan di wilayah ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ewon mengesahkan akan menghadiri Borneo International Halal Showcase (BIHAS) 2026 anjuran Kerajaan Sarawak pada Julai depan, selain menyampaikan jemputan rasmi kepada Awang Tengah untuk menghadiri Sabah International Expo (SIE) 2026 yang dijadual berlangsung pada September nanti.






