KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperluas sumbangannya kepada pembangunan komuniti menerusi kerjasama antarabangsa bersama Universitas Mercu Buana (UMB), Indonesia, baru-baru ini.
Program inisiatif pensyarah UMB, Profesor Madya Dr. Setiawati Intan Savitri tersebut berjaya memberi impak positif terhadap kesejahteraan psikososial kanak-kanak terpinggir melalui pendekatan psikologi, seni dan alam semula jadi.
Bertemakan Empowering Marginal Children through Psychology, Art and Nature, program itu berlangsung di Ruang Publik Terpadu Ramah Anak (RPTRA) Rawa Jaya, Pondok Kopi, Bekasi, Jawa Barat.
Seramai 30 orang kanak-kanak berumur antara tujuh hingga 12 tahun menyertai program tersebut yang dirangka bagi membantu meningkatkan keyakinan diri, membentuk daya tahan emosi serta memupuk sikap positif mereka.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial (FPKS), Profesor Madya Dr. Getrude Cosmas, antara pengisian utama program berkenaan ialah ceramah motivasi bertajuk “Menggapai Impian di Sebalik Realiti” yang disampaikan melalui pendekatan penceritaan dan lakonan berdasarkan kisah “Si Kura-kura” dan “Bukit Sosodikon”.
“Pendekatan ini berjaya menyampaikan mesej mengenai ketabahan, usaha dan keyakinan dalam mengejar impian dengan cara yang dekat dengan dunia kanak-kanak.
“Peserta turut mengikuti aktiviti seni Decoupage yang memberi peluang kepada mereka mengekspresikan impian, harapan dan emosi secara kreatif melalui penghasilan karya seni yang dihiasi dengan kata-kata inspirasi.
“Aktiviti ini bukan sahaja memupuk kreativiti, malah membantu meningkatkan kemahiran komunikasi, keyakinan diri dan interaksi sosial dalam kalangan peserta.
“Program turut mendapat sokongan Yayasan ERBE (Education, Religion, Bee, Entertainment) yang diasaskan oleh Abdul Rohim pada tahun 2016, sekali gus mencerminkan kerjasama erat antara institusi pengajian tinggi dan organisasi komuniti dalam melaksanakan inisiatif pembangunan sosial yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
UMS diwakili oleh lima orang pelajar Program Sarjana Kaunseling Penyalahgunaan Dadah (Specialty Program for Alcohol and Drug Abuse – SPADA) bersama penyelaras program, Dr. Patricia Joseph Kimong.
Tambah Getrude, penglibatan mahasiswa UMS memberi peluang kepada mereka mengaplikasikan ilmu kaunseling dalam situasi sebenar, di samping meningkatkan kemahiran komunikasi antara budaya, empati serta pengalaman mengendalikan program berasaskan komuniti di peringkat antarabangsa.
“Kerjasama dengan pensyarah dan mahasiswa UMB turut membuka ruang kepada perkongsian kepakaran, pertukaran amalan terbaik dan pengukuhan jaringan akademik antara kedua-dua institusi.
“Seiring aspirasi UMS sebagai universiti yang berteraskan masyarakat, kolaborasi seperti ini terus menyokong usaha universiti melahirkan graduan berdaya saing di samping menyumbang kepada pembangunan komuniti melalui pemindahan ilmu dan kepakaran,” ujar beliau.






