KOTA KINABALU: Rakyat Sabah digesa untuk menolak sebarang penganjuran demonstrasi jalanan yang dilihat cuba menular ke negeri itu, tegas Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar.
Menurut beliau, tindakan mengadakan provokasi di jalanan termasuk insiden membakar poster pemimpin sebelum ini merupakan satu budaya luar yang tidak pernah diamalkan oleh masyarakat tempatan di Sabah.

“Sabah ini kita tidak sepatutnya ada demo-demo sebegini. Kita tidak sepatutnya ada demo jalanan. Ini bukan budaya kita, (sebaliknya) ini budaya Semenanjung yang hanya sesuai untuk di sana sahaja.
”Budaya-budaya begini sepatutnya kita hentikan, jangan menular ke Sabah. Jadi, saya sokong mana-mana individu daripada luar masuk ke Sabah, tolong sekat kalau kita nampak dia cuba memporak-perandakan negeri ini,” katanya dalam satu sidang media hari ini
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Perhimpunan Aman ‘Bangkit Sabahan 2.0’ yang diadakan di Lintasan Deasoka, di sini.
Zulkarnain yang juga Penasihat Perhimpunan Bangkit Sabahan 2.0 menjelaskan, perhimpunan aman itu diadakan sebagai langkah ‘counter’ atau tindak balas bagi menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan kumpulan pendemo Gempur Rasuah 3.0 yang disifatkan sebagai keterlaluan.
Beliau membidas tindakan segelintir pihak yang cuba ‘mengajar’ rakyat Sabah berpolitik dengan cara biadab, termasuk mengaitkan pemimpin negeri dengan dakwaan tidak berasas melalui poster-poster provokasi.
”Tidak payah ajar kita berpolitik. Kami tahu cara mengendalikan dan menguruskan politik kami sendiri.
”Kita sudah habis pilihan raya. Sekarang adalah masa untuk kita mencari ‘perut’ (membangunkan ekonomi). Bukan dengan mengadakan demo jalanan seolah-olah tidak percaya kepada mahkamah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” tambahnya lagi.
Mengulas mengenai penglibatan dalam perhimpunan aman tersebut, Zulkarnain memaklumkan ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat sivil dan NGO tempatan yang mahukan keamanan negeri terus terpelihara.
Dianggarkan seramai 600 orang hadir membanjiri perkarangan Lintasan Deasoka yang melibatkan kerjasama daripada tujuh persatuan yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) serta sebuah jawatankuasa bertindak.

Terdahulu, sebuah lagi perhimpunan ‘Gerak Gempur Rasuah’ yang diadakan berhampiran di Suria Sabah, hanya dihadiri sekitar 20 hingga 30 orang peserta.






