KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mendesak agar kes siasatan penyelewengan dana berjumlah RM1.5 bilion yang didakwa membabitkan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dibuka semula demi keadilan rakyat negeri ini.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar menegaskan, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memberi penjelasan konkrit mengenai status tindakan undang-undang berhubung kes tersebut memandangkan rantaian tangkapan telah pun dibuat sebelum ini.
”Sepatutnya individu yang kamu (pihak lawan) desak supaya SPRM mendakwa adalah individu yang bernama Shafie Apdal. Dia telah direman, adik-adik dia telah direman, anak saudara dia telah direman, dan kontraktor juga telah direman.
”Tetapi persoalannya, kenapa kes ini tidak dibawa ke mahkamah? Jika tiada bukti, biar SPRM yang tampil memberikan penjelasan secara terbuka kepada umum,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas Perhimpunan Aman ‘Bangkit Sabahan 2.0’ yang dihadiri hampir 600 peserta di Lintasan Deasoka, di sini.
Zulkarnain mendakwa, pihaknya mempunyai bukti-bukti yang kukuh berkaitan salah guna kuasa tersebut, namun terpaksa mengehadkan pendedahan butiran terperinci atas nasihat peguam bagi mengelakkan implikasi prejudis terhadap proses siasatan.
Menurutnya lagi, beliau merupakan antara individu terawal yang mengemukakan laporan rasmi kepada SPRM pada tahun 2016 dan 2017 berhubung penyelewengan dana Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) ketika kementerian itu diterajui Shafie Apdal.
“Baru-baru ini kami telah menghantar satu memorandum sekali lagi (kepada SPRM) bagi merujuk kembali laporan yang pernah kami buat pada tahun 2016 dan 2017 yang lepas.
”Jumlah penyelewengan yang disiasat ketika itu mencecah sehingga RM1.5 bilion. Kami mahu kes ini diadili seadil-adilnya di mahkamah,” jelas beliau.
Mengulas lanjut, Zulkarnain turut membangkitkan kes pembelian tanah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di Sabah bernilai RM15.5 milion sebagai contoh ketara bagaimana salah guna kuasa didakwa berlaku melalui pihak ketiga atau orang tengah.
Sehubungan itu, G57 bersama gabungan NGO lain menegaskan akan terus konsisten membuat desakan sehingga kes penyelewengan mega berkenaan mendapat jalan penyelesaian yang telus daripada pihak berkuasa.






