Keputusan SPM, STPM Sandakan Meningkat, Bukti Komitmen Warga Pendidik – James

Keputusan SPM, STPM Sandakan Meningkat, Bukti Komitmen Warga Pendidik – James

0
SHARE

SANDAKAN: Prestasi pendidikan Daerah Sandakan terus menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 mencatatkan pencapaian lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen tinggi warga pendidik, kepimpinan sekolah, ibu bapa serta pelajar dalam memperkukuhkan kualiti pendidikan di daerah berkenaan.

Menurut beliau, Gred Purata Daerah (GPD) SPM Sandakan meningkat daripada 5.06 pada tahun 2024 kepada 4.87 pada tahun 2025, sekali gus merekodkan peningkatan sebanyak 0.19 mata.

“Bagi STPM 2025 pula, Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) turut meningkat daripada 2.86 kepada 2.92, sekali gus mencerminkan budaya kecemerlangan yang semakin kukuh dalam kalangan sekolah di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS) 2026 Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sandakan di SMJK Tiong Hua Sandakan, Sabtu lalu.

James berkata, kejayaan itu tidak seharusnya menjadikan semua pihak cepat berpuas hati, sebaliknya perlu dijadikan pemangkin untuk terus memperkukuhkan budaya kerja cemerlang, memperkasa inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran serta melahirkan lebih ramai pelajar yang mampu bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.

Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan kekal menjadi pelaburan paling penting dalam membangunkan modal insan serta menjamin kemajuan Sabah pada masa hadapan.

Katanya, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kerajaan negeri akan terus memperkukuhkan sektor pendidikan melalui pelbagai dasar dan inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Kerajaan Negeri Sabah komited memastikan tiada anak Sabah tercicir daripada menikmati peluang pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang atau lokasi,” katanya.

Menurut beliau, antara bantuan yang terus dilaksanakan ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Aktiviti PIBG Sabah (BAGUS) serta pelbagai bentuk bantuan pendidikan dan kebajikan lain.

Katanya, inisiatif berkenaan bukan sahaja membantu meringankan beban keluarga, malah memperluaskan akses pendidikan dan memperkukuhkan prestasi pendidikan negeri.

Menyentuh perkembangan teknologi, James berkata, sistem pendidikan perlu bergerak seiring dengan perubahan era digital dan kecerdasan buatan (AI), sekali gus melahirkan generasi yang kreatif, inovatif, berfikiran kritis serta mempunyai nilai murni.

Beliau berkata, guru dan pemimpin sekolah kini memikul tanggungjawab lebih besar, bukan sekadar menyampaikan ilmu, malah membentuk sahsiah, membimbing potensi dan mencorakkan masa depan generasi muda.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada PPD Sandakan atas kejayaan menganjurkan MAPenS 2026 yang disifatkan sebagai platform penting bagi menghargai jasa dan dedikasi warga pendidikan.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah serta berharap pengiktirafan yang diterima menjadi pemangkin untuk terus meningkatkan kecemerlangan, di samping menyeru seluruh warga pendidikan, ibu bapa dan masyarakat agar terus berganding bahu memperkukuhkan sistem pendidikan di Sabah.