SMK Gadong Kekalkan 100 Peratus Kelulusan STPM Tiga Tahun Berturut-turut

SMK Gadong Kekalkan 100 Peratus Kelulusan STPM Tiga Tahun Berturut-turut

0
SHARE

BEAUFORT: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong terus mencipta kecemerlangan apabila mengekalkan rekod 100 peratus kelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) selama tiga tahun berturut-turut.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.34 Lumadan, Datuk Ruslan Muharam berkata, pencapaian itu membuktikan komitmen tinggi pihak sekolah, guru, pelajar dan ibu bapa dalam mengekalkan kecemerlangan akademik.

Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan SMK Gadong, malah membuktikan pelajar luar bandar juga mampu mencapai prestasi cemerlang apabila mendapat sokongan dan bimbingan yang berterusan,” katanya ketika merasmikan Majlis Graduasi dan Apresiasi Tingkatan Enam SMK Gadong baru-baru ini.

Pada majlis itu, beliau turut meraikan kejayaan 12 pelajar yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.00 ke atas, termasuk Nuradirah Matnizam yang mencatat PNGK 4.00, manakala 32 pelajar layak memohon kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Ruslan turut menegaskan komitmennya untuk terus menyokong usaha memperkasakan pendidikan bagi melahirkan lebih ramai modal insan berilmu, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan Lumadan serta Sabah.