KOTA KINABALU: Cadangan pembinaan jalan berturap atau konkrit sepanjang 37 kilometer dari Kampung Meliu ke Kampung Dogoton di Pulau Banggi, bernilai lebih RM300 juta, wajar diberi keutamaan bagi memastikan kawasan itu tidak terus ketinggalan.
ADUN Banggi, Datuk Mohamad Mohamarin, berkata projek tiga fasa itu telah dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatannya pada 9 Mei lalu.
Katanya, Pulau Banggi kini mempunyai kira-kira 81 kilometer jalan utama, namun hanya 14 kilometer berturap dan berada dalam keadaan uzur.
“Keadaan jalan yang rosak dan berlubang bukan sahaja menyukarkan pergerakan penduduk, malah turut mengundang risiko kemalangan serta menjejaskan aktiviti ekonomi masyarakat setempat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 di DUN Sabah.
Menurutnya, jaringan jalan sedia ada juga belum meliputi kawasan Balambangan, Tanjung Manawali, Pulau Sibogo dan Pulau Tigabu.
Beliau berkata, walaupun beberapa projek telah diumumkan susulan lawatan pemimpin negeri dan Persekutuan, Pulau Banggi masih memerlukan peruntukan lebih besar bagi mengatasi kekurangan kemudahan asas.
Selain itu, beliau turut mencadangkan pembangunan projek tenaga angin berkapasiti antara 15 hingga 50 megawatt bagi memperkukuh bekalan elektrik serta merangsang pelaburan.
Mohamad menegaskan pembangunan infrastruktur menyeluruh mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat, merangsang ekonomi setempat dan merapatkan jurang pembangunan antara kawasan pulau dan tanah besar.






