SIE2026 Sasar Lebih 30,000 Pengunjung Dari 15 Negara, Pacu Peluang Pelaburan Sabah

SIE2026 Sasar Lebih 30,000 Pengunjung Dari 15 Negara, Pacu Peluang Pelaburan Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Lebih 30,000 pelawat perdagangan, delegasi, peserta dan pengunjung awam dari 15 negara dijangka menghadiri Ekspo Antarabangsa Sabah 2026 (SIE2026), sekali gus membuka ruang lebih luas untuk mempromosikan peluang perdagangan dan pelaburan di negeri ini.

SIE2026 yang dianjurkan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) akan berlangsung selama lima hari bermula 2 hingga 6 September depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

Pengerusi MICCI Sabah, Datuk Susan Chang berkata, ekspo itu merupakan antara inisiatif utama MICCI tahun ini dengan pelbagai program dirangka bagi memperluas jaringan perniagaan, menggalakkan kerjasama industri serta mengetengahkan potensi ekonomi Sabah kepada pihak berkepentingan tempatan dan antarabangsa.

Beliau berkata demikian ketika Jawatankuasa Eksekutif MICCI Sabah mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di sini, hari ini.

Menurut Susan, penyertaan SIE2026 dijangka melibatkan Australia, Brunei Darussalam, China, Denmark, Finland, India, Indonesia, Jepun, Korea, Filipina, Poland, Singapura, Thailand dan Zambia, selain peserta dari Semenanjung Malaysia.

Antara program utama yang dirangka ialah Persidangan Perdagangan, Pelaburan dan Halal BIMP-EAGA Ke-3, Sabah International Business Luncheon Talk 2026 (SIBLT2026) serta Majlis Makan Malam Selamat Datang SIE2026 yang dihoskan Kerajaan Negeri Sabah.

Susan berkata, selain penganjuran SIE2026, MICCI Sabah terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh kerjasama ekonomi serantau menerusi inisiatif Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

Katanya, rantau BIMP-EAGA mempunyai potensi pasaran kira-kira 80 juta penduduk, sekali gus menawarkan peluang besar untuk memperluas hubungan perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi serantau.

Sementara itu, Hajiji memuji peranan proaktif MICCI Sabah dalam menyokong pertumbuhan sektor swasta serta usaha memupuk kerjasama lebih erat antara pemain industri dan kerajaan.