PARIS, PERANCIS – Kerajaan Perancis menggantung tugas tanpa gaji kepada hampir ribuan pekerja kesihatan di negara itu kerana gagal mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 sebelum 15 September.
Memetik laporan AFP, Menteri Kesihatan Perancis iaitu Olivier Veran berkata, sekitar 3,000 penggantungan tugas dilakukan semalam terhadap pekerja di pusat kesihatan dan klinik yang belum lagi menerima sebarang suntikan vaksin COVID-19.
“Pada masa sama, puluhan kakitangan sudah menyatakan hasrat sanggup berhenti kerja berbanding menerima suntikan vaksin itu…
“Jumlah ini jika dibandingkan dengan 2.7 juta pekerja kesihatan secara keseluruhan, bukan sesuatu yang besar dan penjagaan kesihatan akan terus terjamin,” katanya kepada stesen radio RTL.
Terdahulu pada Julai, Presiden Emmanuel Macron memberi kata dua kepada kakitangan hospital, pekerja rumah persaraan dan anggota bomba supaya mendapatkan sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin sebelum 15 September atau digantung tugas tanpa bayaran.

Ramai jururawat enggan menerima suntikan vaksin atas alasan keselamatan atau kebimbangan mengenai keberkesanannya, sekali gus mengancam program inokulasi Perancis.
Agensi kesihatan awam kebangsaan Perancis minggu lalu menganggarkan sekitar 12 peratus pekerja hospital dan sekitar enam peratus doktor di pusat rawatan swasta masih belum divaksin.
Secara keseluruhan, 70 peratus (70%) warga Perancis sudah menerima dua suntikan vaksin sepenuhnya, yang diberikan kepada mereka berusia 12 tahun ke atas, menjadikannya antara kadar vaksinasi tertinggi di dunia.