
KOTA KINABALU, SABAH – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak seluruh ‘Keluarga Malaysia’ untuk bulatkan tekad bersatu hati memelihara serta mempertahankan kedaulatan negara.
Beliau berkata, semangat yang ada pada Sambutan Hari Malaysia kali ini perlu menerapkan konsep ‘Keluarga Malaysia’ agar rakyat bertoleransi dalam semua perkara, hormat-menghormati serta mengekalkan perpaduan yang merentasi ideologi politik demi negara Malaysia yang dicintai.
“Mengambil semangat Sambutan Hari Malaysia pada hari ini, saya menyeru supaya kita semua menghayati dengan mendalam makna hari yang bersejarah ini…
“Ayuh Keluarga Malaysia, kita bulatkan tekad dan bersatu hati untuk terus memelihara serta mempertahankan kedaulatan negara,” katanya ketika berucap pada Perutusan Perdana Menteri Sambutan Hari Malaysia 2021 di Kota Kinabalu, Sabah malam tadi.

Perdana Menteri pada masa yang sama turut mengingatkan bahawa tunjang kekuatan Malaysia adalah berdasarkan perpaduan rakyat yang berbilang kaum, agama dan bangsa, selain integrasi nasional silang budaya, serta merentasi ideologi politik.
“Umpama selembar benang, dikait, ditenun dan dijalin akhirnya menjadi kain yang sempurna indahnya. Itulah semangat Keluarga Malaysia yang menjunjung utuh perpaduan,” katanya.