KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima 15 unit kenderaan operasi ringan pacuan empat roda (4×4) bagi meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan pasukan itu melaksanakan operasi kecemasan di seluruh negeri.
Timbalan Pengarah JBPM Sabah, PPjB Lizalman Abu berkata, kesemua Light Operation Vehicle (LOV) itu akan diagihkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di seluruh Sabah bagi menyokong pelaksanaan operasi di pelbagai kawasan.
Katanya, kenderaan berkenaan akan digunakan bagi operasi kecemasan, rondaan, logistik serta tugasan sokongan termasuk di kawasan bandar, luar bandar dan ketika menghadapi situasi bencana.
“Penerimaan aset ini merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan, mobiliti dan keupayaan respons JBPM, khususnya dalam menghadapi cabaran operasi di Sabah yang mempunyai kawasan geografi luas dan pelbagai bentuk muka bumi,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Penyerahan dan Agihan Light Operation Vehicle (LOV) JBPM Sabah di Ibu Pejabat JBPM Sabah, di sini, hari ini.
Menurutnya, penggunaan kenderaan pacuan empat roda itu dijangka membantu anggota bomba bergerak dengan lebih berkesan dalam melaksanakan tugasan, khususnya di kawasan yang mempunyai akses dan bentuk muka bumi mencabar.
Dalam pada itu, JBPM merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas keprihatinan serta kelulusan keperluan LOV berkenaan bagi memperkasakan kesiapsiagaan dan keupayaan operasi jabatan, khususnya di Sabah.






