Gagasan Rakyat Lamag Nafi Tuduhan Semua Jawatan Kampung Dibolot

Gagasan Rakyat Lamag Nafi Tuduhan Semua Jawatan Kampung Dibolot

0
SHARE
Abu bakar
Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Lamag, Abu Bakar Gapar ( Sumber Foto: Ihsan Gagasan Rakyat )

KOTA KINABALU, SABAH – Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Lamag menafikan dakwaan bahawa semua jawatan peringkat kampung telah dibolot oleh parti itu dan mengetepikan parti komponen lain dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketuanya, Abu Bakar Gapar berkata demikian membidas tuduhan melalui video yang tular di media sosial baru-baru ini.

“Ia adalah tidak benar dan sengaja disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang bertujuan merosakkan nama baik parti Gagasan Rakyat.

“Sebenarnya tidak berbangkit soal berlaku kekecohan dan ketidakadilan dalam isu pelantikan pemimpin akar umbi seperti yang digambarkan di media sosial, termasuk video yang disebarkan oleh pihak tertentu,” katanya melalui kenyataan.

Abu Bakar menjelaskan bahawa apa yang berlaku, adalah salah faham oleh seorang Ketua Bahagian sebuah parti komponen GRS semasa menyampaikan ucapan ringkas sebelum Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua-Ketua Adat Dewan Undangan Negeri Lamag pada 4 Julai 2024 lalu.

“Kemungkinan beliau kurang informasi berkaitan dengan pelantikan itu sehingga beranggapan bahawa wakil parti itu telah dibelakangkan.

“Berdasarkan senarai ketua-ketua adat yang dilantik oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, tiga orang daripada parti tersebut telah dilantik, berserta dengan beberapa orang dari parti-parti komponen yang lain.

“Kementerian Kerajaan Tempatan membuat pelantikan itu adalah berdasarkan merit setelah menerima syor-syor nama daripada parti-parti komponen GRS, serta mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Kerajaan pada Oktober 2022.

“Pemimpin parti-parti komponen GRS bahagian Lamag yang dilantik mengisi kekosongan jawatan Ketua Adat mencapai 56 peratus berbanding parti dominan dari segi ahli dan senioriti. Justeru, Tidak wujud isu soal ketidakadilan,” tambahnya.

Mengenai satu lagi tuduhan bahawa pemimpin parti PKR tidak dijemput, Abu Bakar juga berkata ia tidak benar.

“Ketua Wanita Cabang PKR Kinabatangan, Siti Jahara menghadiri majlis itu mewakili parti tersebut setelah Ketua Cabang dan Setiausaha Bahagian PKR Kinabatangan tidak dapat hadir atas sebab tertentu.

“Jangan kaitkan isu tersebut dengan soal ketidakadilan dan perpecahan parti-parti komponen GRS kawasan Lamag.

“Saya ingin tegaskan di sini bahawa Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Gagasan Rakyat di Kinabatangan tetap kukuh bersatu. Saya berharap tiada pihak yang mengambil kesempatan menimbulkan provokasi bahawa akar umbi GRS bercakaran merebut jawatan.

“Isu ini hanya disebabkan salah faham yang telah diberikan penjelasan sebaiknya,” katanya.