TAWAU: Penggunaan MyKad palsu bukan sahaja mengancam keselamatan negara, malah memberi kesan besar terhadap kestabilan sosioekonomi Sabah yang mempunyai sempadan antarabangsa dan sering menjadi sasaran sindiket pemalsuan identiti.
Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS), Mohd. Zaki Harry Susanto berkata, kedudukan geografi Sabah yang strategik dan memiliki garis pantai serta sempadan darat yang panjang menyebabkan negeri ini terdedah kepada penyusupan warga asing menggunakan MyKad palsu.
“Sabah mempunyai garis pantai dan sempadan darat yang panjang serta kedudukan strategik berhampiran negara jiran. Ini menjadikan negeri Sabah terdedah kepada penyusupan individu yang menggunakan MyKad palsu untuk menyamar sebagai warganegara,” katanya.
Menurutnya, penggunaan identiti palsu bukan sekadar kesalahan dokumentasi, malah membuka ruang kepada jenayah terancang seperti pemerdagangan manusia, pengedaran dadah, jenayah rentas sempadan serta penyalahgunaan bantuan kerajaan.
“Apabila individu tidak sah memiliki MyKad, mereka boleh bekerja, mendapatkan rawatan kesihatan, pendidikan serta bantuan subsidi yang sepatutnya dinikmati rakyat.
“Ini bukan sahaja merugikan negara malah menimbulkan rasa tidak adil dalam kalangan masyarakat tempatan,” katanya.
Beliau turut menyatakan penjenayah yang menggunakan MyKad palsu sukar dikesan dan menyukarkan siasatan, selain berpotensi mengganggu keharmonian sosial serta keselamatan komuniti, khususnya di kawasan luar bandar dan pesisir pantai.
“Dalam konteks Sabah, isu ini juga boleh mengganggu keharmonian sosial dan keselamatan komuniti terutama di kawasan luar bandar dan penempatan berhampiran pantai,” katanya.
Bagi mengekang masalah ini, Mohd. Zaki mencadangkan penguatkuasaan bersepadu melibatkan JPN, PDRM, JIM, SPRM dan ESSCOM diperkasakan secara berterusan, selain memperluaskan kempen kesedaran awam serta penggunaan teknologi biometrik dan sistem pangkalan data bersepadu.
“Rakyat perlu faham bahawa memiliki, menyimpan atau membantu mendapatkan MyKad palsu adalah kesalahan serius yang boleh dikenakan hukuman penjara dan denda. Pencegahan jenayah bukan hanya tugas agensi tetapi tanggungjawab bersama,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias dilaporkan berkata MyKad palsu boleh digunakan oleh pengganas, penjenayah antarabangsa dan sindiket pemerdagangan manusia untuk melindungi identiti mereka.
JPN menegaskan tindakan undang-undang tegas boleh diambil termasuk hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.






