Maritim Sabah Catat Hampir RM50 Juta Nilai Rampasan Sepanjang 2025

Maritim Sabah Catat Hampir RM50 Juta Nilai Rampasan Sepanjang 2025

0
SHARE

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan sebanyak 273 kes tangkapan dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM48.5 juta sepanjang tahun 2025 hasil penguatkuasaan berterusan dan operasi bersepadu di perairan negeri ini.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, rampasan itu melibatkan pelbagai kes berprofil tinggi termasuk penyeludupan dadah, minuman keras, rokok, penahanan bot nelayan Vietnam serta rampasan barangan di bawah Akta Kawalan Bekalan seperti minyak masak, beras dan petrol.

“Sepanjang tahun lalu, Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan turut melaksanakan 59,119 pemeriksaan dan 28,320 penggeledahan, sekali gus mencerminkan tahap kesiapsiagaan tinggi agensi ini dalam membanteras jenayah maritim dan pelanggaran undang-undang di perairan negara,” katanya.

Menurut beliau, bagi memperkukuh keberkesanan operasi, pihaknya melaksanakan pelbagai operasi dan latihan bersama antara agensi seperti Op Naga Sabah, Op MARDOF serta eksesais Search and Rescue Exercise (SAREX) dan Maritime Mass Rescue Operation (MMRO). Pendekatan bersepadu ini bertujuan meningkatkan koordinasi, keupayaan tindak balas dan kesiapsiagaan menghadapi ancaman keselamatan maritim.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan sebanyak 23 kes operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) direkodkan sepanjang tahun lalu dengan seramai 244 mangsa berjaya diselamatkan, melibatkan anggaran nilai harta diselamatkan berjumlah RM23.1 juta.

“Kejayaan ini menzahirkan kecekapan pasukan CARILAMAT Maritim Malaysia dalam melaksanakan operasi secara pantas dan berkesan,” katanya.

Selain penguatkuasaan dan CARILAMAT, Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan turut mencatat beberapa perkembangan penting termasuk penempatan kapal pemberian US Coast Guard (USCG), Ex-USCG Cutter Steadfast di negeri ini, penerimaan separa siap Kompleks Zon Maritim Semporna serta pengambilan pertama Pasukan Kadet Maritim (PASKAM) Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Pelaksanaan Program Jelajah MADANI yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut menjadi antara pencapaian signifikan yang memperkukuh hubungan kerajaan dengan komuniti maritim setempat,” katanya.

Mengulas lanjut, Khairulanuar berkata kejayaan dicapai adalah hasil komitmen tinggi warga Maritim Sabah dan Labuan dengan sokongan kerjasama erat agensi keselamatan serta masyarakat setempat.

Beliau menegaskan Maritim Malaysia akan terus memperkukuh kesiapsiagaan operasi, meningkatkan keupayaan aset dan modal insan serta mempererat kerjasama antara agensi bagi memastikan keselamatan perairan, kesejahteraan komuniti maritim dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.