Orang Ramai Dinasihat Kurangkan Aktiviti Luar Susulan Jerebu, IPU Tidak Sihat

Orang Ramai Dinasihat Kurangkan Aktiviti Luar Susulan Jerebu, IPU Tidak Sihat

0
SHARE

KOTA KINABALU: Orang ramai khususnya kanak-kanak, golongan belia, warga emas serta individu yang mempunyai masalah kesihatan dan pernafasan dinasihatkan mengurangkan aktiviti fizikal dan aktiviti di luar rumah sekiranya kualiti udara berada pada tahap tidak sihat.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, perkembangan kualiti udara di beberapa kawasan di Sabah yang terjejas akibat jerebu ketika ini perlu diberikan perhatian serius.

Menurutnya, berdasarkan maklumat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah, keadaan itu antara lain berpunca daripada asap tebal akibat kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan yang dibawa tiupan angin ke wilayah Borneo, termasuk Sabah.

Berdasarkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang dikeluarkan JAS, beberapa kawasan termasuk Tawau, Semporna dan Kota Kinabalu telah mencatatkan bacaan pada tahap tidak sihat.

“Keadaan ini perlu diberikan perhatian serius, khususnya memandangkan bacaan IPU boleh berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada keadaan cuaca dan pergerakan angin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nizam turut mengingatkan persatuan sukan, akademi, kelab, jurulatih dan penganjur program supaya sentiasa memantau bacaan IPU di kawasan masing-masing sebelum meneruskan sebarang latihan atau aktiviti luar.

“Kesihatan dan keselamatan atlet, pemain serta peserta hendaklah menjadi keutamaan.

“Sekiranya keadaan tidak mengizinkan, aktiviti berintensiti tinggi di kawasan terbuka wajar dikurangkan, ditangguhkan atau dipindahkan ke lokasi tertutup yang bersesuaian,” katanya.

Beliau pada masa sama menyeru masyarakat supaya tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh memburukkan lagi kualiti udara, selain meminta sebarang kejadian pembakaran terbuka atau kebakaran segera dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Katanya, Kerajaan Negeri menerusi agensi berkaitan akan terus mengikuti perkembangan semasa, manakala JAS dan agensi berkenaan sedang mengambil langkah sewajarnya termasuk meningkatkan pemantauan, rondaan serta penguatkuasaan.

“Saya berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama, mengikuti nasihat pihak berkuasa dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai bacaan IPU melalui saluran rasmi,” katanya.