PITAS: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun maut, manakala dua lagi kanak-kanak perempuan hampir lemas dalam kejadian di Sungai Bengkoka, Kampung Pondoi, di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas, PBT II Noor Jali Maslah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.17 petang, Isnin sebelum enam anggota digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, kejadian membabitkan lima mangsa berusia antara empat hingga 18 tahun, dengan empat daripadanya berjaya diselamatkan.
“Dua mangsa perempuan masing-masing berusia empat dan 14 tahun dilaporkan hampir lemas dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan, manakala seorang perempuan berusia 18 tahun serta seorang remaja lelaki berusia 14 tahun selamat.
“Bagaimanapun, seorang lagi mangsa perempuan berusia 11 tahun dilaporkan hilang dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Noor Jali berkata, pasukan bomba menjalankan SAR menggunakan bot Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi kaedah Surface Water Rescue dalam radius satu kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB).
Katanya, pada jam 7.36 pagi, mangsa yang hilang ditemui penduduk kampung di Sungai Bengkoka, kira-kira satu kilometer dari PKB.
“Pasukan bomba kemudian membawa keluar mangsa menggunakan pengusung sebelum menyerahkannya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Mangsa dibawa ke hospital oleh pihak polis dan kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Operasi yang diketuai PBK I Gabuh Maradan itu membabitkan enam anggota BBP Pitas dengan bantuan empat anggota polis.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.25 pagi selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.






