KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM8.24 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) untuk melaksanakan pelbagai program pemerkasaan wanita tahun ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Selain untuk operasi, peruntukan itu merangkumi inisiatif pembangunan ekonomi, latihan dan peningkatan kemahiran usahawan, kepimpinan, pembangunan keluarga serta pembangunan dan promosi produk.
Hajiji berkata, dalam kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030, adalah amat penting bagi pembangunan wanita untuk bergerak seiring dengan aspirasi negeri.
“Justeru, dalam fasa baharu pembangunan negeri, kita mahu wanita turut mencorakkan arah pembangunan itu sendiri melalui idea, kepakaran, pengalaman, kepimpinan dan keberanian mencetuskan perubahan,” katanya pada sambutan Hari Wanita Peringkat Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Jumaat.
Hajiji berkata, salah satu asas utama pemerkasaan ialah kekuatan ekonomi, terutama dalam keadaan masa kini yang amat mencabar termasuk melibatkan kos sara hidup.
“Dalam hal ini, wanita yang memiliki ilmu, kemahiran, pendapatan dan akses kepada peluang akan mempunyai daya tahan yang lebih kukuh untuk menentukan masa depan diri serta keluarga.
“Oleh sebab itu, pendekatan Kerajaan Negeri mesti beranjak daripada bantuan semata-mata kepada pembinaan keupayaan; daripada pembinaan keupayaan kepada kemandirian; dan daripada kemandirian kepada penciptaan nilai, kekayaan serta peluang pekerjaan,” katanya.
Ketua Menteri berkata, komitmen itu seiring dengan Dasar Wanita Negara 2025-2030 yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan wanita termasuk dari segi ruang, peluang, pendedahan, kegiatan ekonomi, perlindungan sosial dan ekosistem pekerjaan yang lebih responsif.
Menurutnya, prinsip “Sabah First” yang menjadi teras dasar Kerajaan Negeri turut menuntut supaya peluang pembangunan diperluas secara adil kepada seluruh rakyat Sabah.
“Ini bermakna wanita di bandar, luar bandar dan pedalaman mesti mempunyai akses yang lebih baik kepada pendidikan, kemahiran, pekerjaan, keusahawanan, teknologi, perlindungan dan kepimpinan.
“Kita mahu pembangunan yang bukan sekadar meningkatkan angka pertumbuhan, tetapi benar-benar mengangkat mutu kehidupan rakyat,” katanya.
Hajiji berkata, untuk tujuan itu, beberapa inisiatif telah diperkenalkan termasuk JHEWA BizBloom yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi wanita, khususnya ibu tunggal dan wanita B40.
Menurutnya, inisiatif seperti itu mesti menghasilkan perubahan yang dapat diukur, daripada peningkatan kemahiran kepada peningkatan pendapatan serta daripada perniagaan mikro kepada perusahaan yang lebih kukuh dan berdaya saing.
“Sebab itu, kita mahu lebih ramai usahawan wanita memanfaatkan teknologi, platform digital, pemasaran moden, rangkaian pasaran dan akses kepada pembiayaan.
“Aspirasi kita jelas iaitu produk yang dihasilkan usahawan wanita Sabah bukan sahaja kukuh di pasaran tempatan, malah mampu menembusi pasaran yang lebih luas.
“Pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan ini adalah untuk memastikan semua wanita mendapat keadilan yang sewajarnya baik dalam aspek ekonomi mahupun pekerjaan. Selain itu, kerajaan mahu memastikan manfaat pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0 dapat dirasai oleh wanita di seluruh negeri,” katanya.
Seiring dengan kemajuan masa kini, Hajiji berkata, Sabah memerlukan pemimpin wanita yang bukan sahaja bersedia menghadapi perubahan, tetapi mampu memimpin perubahan.
Menurutnya, amat penting untuk membina barisan pelapis pemimpin wanita Sabah yang berintegriti, berilmu, berwibawa, berani membuat keputusan dan berupaya memimpin dalam persekitaran yang semakin kompleks.
“Saya mahu lebih ramai wanita Sabah tampil sebagai profesional berkemahiran tinggi, saintis, teknologis, inovator, usahawan digital, pemimpin korporat, pemimpin komuniti dan peneraju dalam perkhidmatan awam.
“Kita mahu bakat wanita Sabah berdiri setara dan menyerlah dalam setiap bidang strategik. Pada masa yang sama, saya mahu kepimpinan wanita berkembang bersama satu budaya yang penting: wanita yang telah berjaya membuka ruang, berkongsi pengalaman, membimbing dan membina generasi wanita seterusnya,” katanya.
Hajiji turut mahu JHEWA terus bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan komuniti untuk bersama-sama memperkasa golongan wanita di bandar, luar bandar mahupun pedalaman negeri ini.
Beliau memberi jaminan Kerajaan Negeri sentiasa komited memastikan golongan wanita terus diberi peluang yang adil, ruang peningkatan kemahiran serta sokongan melalui pelbagai program pemerkasaan agar terus berdaya saing.
“Saya menyeru agar semua pihak terus berganding bahu memperkasa potensi wanita agar menjadi wanita yang berilmu, berdaya tahan dan berwibawa,” katanya.






