KOTA KINABALU: Kerajaan akan menyegerakan fasa kedua penambahan jawatan penting untuk Sabah dan Sarawak, termasuk pelantikan anak-anak kedua-dua negeri ini ke jabatan-jabatan utama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah berkenaan adalah selaras dengan perkara yang diperakui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Suruhanjaya Cobbold sebelumnya.
Menurutnya, pelaksanaan perkara itu dibuat secara berfasa dengan fasa pertama sudah dilaksanakan, manakala fasa kedua akan disegerakan.
“Yang kedua tentang penambahan jawatan-jawatan penting untuk Sabah, Sarawak sepertimana diperakui di dalam Perjanjian Malaysia dan juga dalam Suruhanjaya Cobbold sebelumnya.
“Kita telah putuskan dalam beberapa fasa, fasa pertama telah dilaksanakan, fasa kedua disegerakan.
“Ini termasuklah yang disebut melantik anak-anak dari Sabah, Sarawak untuk jabatan-jabatan yang utama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Anwar bagaimanapun tidak memperincikan jabatan atau jawatan utama yang terlibat dalam fasa kedua berkenaan serta tempoh pelaksanaannya.
Perkara itu merupakan antara keputusan yang diketengahkan Perdana Menteri selepas mesyuarat MTPMA63, selain keputusan berkaitan penambahan penyertaan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak.






