Sabah Perlu Lahirkan Bakat Tempatan Berkemahiran Tinggi – Masidi

Sabah Perlu Lahirkan Bakat Tempatan Berkemahiran Tinggi – Masidi

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah perlu melahirkan lebih ramai bakat tempatan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan sektor ekonomi yang semakin berkembang serta memastikan anak tempatan mampu merebut dan memimpin peluang dalam industri bernilai tinggi.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, keperluan terhadap tenaga berkemahiran semakin penting ketika negeri ini meneroka pertumbuhan dalam pelbagai sektor termasuk tenaga, pembuatan, teknologi, logistik, pelancongan dan ekonomi digital.

Menurutnya, pembangunan infrastruktur, kemasukan pelaburan dan pertumbuhan industri tidak akan mencapai matlamat jangka panjang tanpa tenaga manusia berkemahiran yang menjadi penggerak kepada pembangunan berkenaan.

“Pelaburan dan industri boleh dibangunkan, namun bakat manusia akhirnya menjadi pemacu kepada kemajuan yang berkekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan ConocoPhillips STEM Forward 2026 di Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tanjung Aru, di sini pada Isnin.

Masidi berkata, Sabah mahu melihat lebih ramai anak tempatan bukan sahaja mengambil bahagian dalam peluang yang tersedia, malah mampu memimpin industri bernilai tinggi pada masa hadapan.

Sehubungan itu, katanya, pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu terus diperkasa bagi melahirkan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran bersesuaian dengan keperluan pembangunan negeri.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus menyokong usaha memperkukuh pendidikan STEM serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain menyediakan laluan kepada bakat tempatan untuk menceburi industri yang memerlukan kemahiran khusus.

Masidi turut memuji komitmen ConocoPhillips Malaysia dalam pembangunan bakat STEM di Sabah apabila lebih 10,000 pelajar mendapat manfaat daripada ekosistem STEM yang diwujudkan syarikat itu menerusi pelbagai inisiatif termasuk STEM Forward.

Katanya, program berkenaan bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan inovasi, malah membantu mereka memahami peluang serta pengalaman sebenar dalam industri.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan peranan penting guru dalam membimbing dan membentuk generasi muda, khususnya dalam menggalakkan penyertaan pelajar dalam aktiviti serta program STEM.

Masidi turut mengalu-alukan penyerahan Modul STEM Preppers Mathematics and Science kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah sebagai usaha memperkukuh pembelajaran STEM secara lebih mampan dan meluas.

Menurutnya, kejayaan agenda Sabah Maju Jaya memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, institusi pendidikan dan pihak industri bagi mewujudkan lebih banyak peluang kepada generasi muda.

“Marilah kita terus melabur dalam anak-anak muda kerana mereka adalah aset terbesar dan asas kepada masa depan Sabah,” katanya.

Turut hadir Presiden ConocoPhillips Malaysia, Connor Dunn; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Abidin Marjan serta tetamu kehormat lain.