KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, usaha memastikan anak-anak Sabah mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti memerlukan komitmen dan kerjasama bersepadu daripada semua pihak.
Beliau berkata, inisiatif mengumpul Dana Pendidikan seperti yang diambil oleh Persatuan Hakka Daerah Tuaran amat membanggakan dan patut dicontohi oleh persatuan-persatuan lain demi masa depan generasi akan datang.
“Pelaburan dalam pendidikan merupakan pelaburan untuk masa depan generasi muda dan masa depan negeri Sabah. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang dan pihak yang telah memberikan sokongan kepada Dana Pendidikan ini.
“Setiap sumbangan, tidak kira besar atau kecil, membawa satu harapan kepada generasi muda,” katanya pada Majlis Makan Malam Kutipan Dana Pendidikan Persatuan Hakka Daerah Tuaran di Dewan Hakka, Tanjung Lipat di sini malam ini.
Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
“Pendidikan merupakan teras kepada pembangunan sesebuah bangsa dan negeri. Melalui pendidikan, kita mampu mengubah nasib sesebuah keluarga, melahirkan modal insan yang berkualiti, serta memacu pertumbuhan ekonomi Sabah ke tahap yang lebih tinggi.
“Tidak dapat dinafikan bahawa pelaburan dalam modal insan ini penting untuk mengangkat bukan sahaja status sosial tetapi juga status ekonomi dan kesejahteraan hidup individu dan masyarakat,” katanya.
Ketua Menteri berkata, di bawah pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), pembangunan modal insan merupakan antara agenda utama kerajaan negeri.
Sebab itu, katanya, bagi melahirkan modal insan yang berkualiti dan memberi peluang kepada lebih ramai lagi anak-anak watan Sabah melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, pelbagai bantuan pendidikan berbentuk dana dan kemudahan disediakan oleh kerajaan negeri.
Antaranya Biasiswa, Dermasiswa dan Bantuan kepada pelajar, manakala sebanyak 14 inisiatif Bantuan Pendidikan sedia ada antaranya Bantuan Tunai Pendaftaran IPT secara One Off (BUDI); Bantuan Ihsan Komputer (BAIK); Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI); Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (SUBFLY); serta Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA).
Selain itu, Yayasan Sabah juga menawarkan bantuan pendidikan yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat, katanya.
Beliau berharap Dana Pendidikan yang dikumpulkan pada malam ini dapat terus memberi manfaat kepada generasi muda dan membantu mereka dalam perjalanan pendidikan mereka.
Hajiji berkata, pertubuhan seperti Persatuan Hakka Daerah Tuaran mempunyai peranan yang penting kerana selain memelihara identiti dan budaya masyarakat sendiri, persatuan juga dapat menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
Dalam hal ini, beliau mengucapkan tahniah kepada Persatuan Hakka Daerah Tuaran yang akan mengadakan majlis perasmian Bangunan Baharu dan Muzium Mini Hakka di Pekan Tuaran pada bulan hadapan.
“Penubuhan Muzium Mini Hakka adalah satu usaha yang baik untuk menyimpan dan memperkenalkan sejarah serta budaya masyarakat Hakka kepada generasi muda dan masyarakat umum.
“Saya berharap bangunan baharu dan Muzium Mini Hakka ini akan digunakan dengan sebaik-baiknya, bukan sahaja untuk kepentingan ahli persatuan, tetapi juga untuk mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat dan pertubuhan lain,” katanya.






