KOTA KINABALU: Kejayaan pembangunan Sabah perlu diukur melalui perubahan dalam kehidupan rakyat, termasuk penyelesaian masalah kemudahan asas dan peluang sebenar kepada generasi muda, kata Asmey Ruddy.
Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Kudat yang juga Ketua Penerangan Pemuda Negeri itu berkata, agenda pembangunan perlu diterjemahkan kepada hasil yang dapat dirasai masyarakat.
“Bagi saya, ukuran sebenar kejayaan pembangunan bukan sekadar pada angka pelaburan atau pengumuman projek, tetapi pada perubahan yang dapat dilihat dalam kehidupan rakyat.
“Pembangunan yang berjaya ialah pembangunan yang sampai kepada rakyat, membuka peluang kepada masyarakat dan memberikan harapan kepada generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan sebagai respons terhadap ucapan dasar Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, sempena Konvensyen GRS 2026 di Kudat pada 18 Oktober lalu. (web26.bernama.com)
Asmey menyambut baik penekanan terhadap perpaduan, kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat dalam ucapan berkenaan, selain menyokong kesinambungan pembangunan menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Menurutnya, isu bekalan air, jalan raya, elektrik, kemudahan kesihatan dan peluang pekerjaan perlu terus diberikan perhatian, khususnya bagi memastikan masyarakat luar bandar turut menikmati manfaat pembangunan.
Katanya, penduduk di Kudat dan Pitas mengharapkan kemudahan asas yang lebih baik serta peluang ekonomi yang membolehkan pengusaha tempatan berkembang dan anak muda membina kehidupan di negeri sendiri.
Dalam memperkasakan generasi muda, beliau menegaskan golongan itu perlu dilihat sebagai rakan strategik pembangunan yang diberikan ruang menyumbang idea dan menyertai proses membuat keputusan.
“Anak muda bukan sekadar pewaris masa depan Sabah. Anak muda ialah sebahagian daripada kekuatan yang menentukan masa depan Sabah hari ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu usaha memperluas keusahawanan, ekonomi digital, latihan teknikal dan vokasional serta pekerjaan berkualiti terus diperkukuh.
Asmey turut menegaskan perpaduan GRS perlu dibuktikan melalui kerjasama, sikap saling menghormati dan kesediaan memikul tanggungjawab bersama, dengan kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Dalam aspek penerangan pula, beliau berkata komunikasi politik perlu berasaskan fakta, disampaikan secara matang dan disertai kesediaan mendengar teguran masyarakat.
Beliau turut mengingatkan jentera pemuda supaya konsisten turun ke lapangan, memahami keperluan komuniti dan membantu menghubungkan masyarakat dengan peluang serta saluran bantuan.
“Pemuda tidak boleh hanya aktif ketika musim pilihan raya atau ketika berlangsungnya program besar. Kita mesti hadir secara berterusan dalam kehidupan masyarakat.
“Kita perlu memastikan perjuangan ini bukan hanya difahami melalui ucapan, tetapi dibuktikan melalui hasil kerja yang nyata,” katanya.






