Dua Cedera Dalam Kemalangan Dua Kenderaan di Jalan Penampang-Kinarut

Dua Cedera Dalam Kemalangan Dua Kenderaan di Jalan Penampang-Kinarut

0
SHARE

PENAMPANG: Dua individu cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di hadapan Alpha Land Development, Jalan Penampang-Kinarut, malam Selasa.

Dalam kejadian itu, mangsa yang cedera merupakan seorang lelaki berusia lingkungan 40-an dan wanita berusia 29 tahun yang menaiki sebuah Toyota Yaris.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.15 malam sebelum enam anggota bersama jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi lima minit kemudian dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Toyota Yaris dan Isuzu D-Max.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua mangsa yang menaiki Toyota Yaris mengalami kecederaan, manakala pemandu Isuzu D-Max, seorang lelaki berusia lingkungan 40-an, tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kedua-dua mangsa yang cedera telah dikeluarkan dari kenderaan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, anggota bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada kedua-dua mangsa sebelum membawa mereka ke Hospital Queen Elizabeth I menggunakan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Operasi yang turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.02 malam selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya.