Dalamkan Sungai dan Bina Saliran Baharu Antara Langkah Mitigasi Atasi Banjir Sekitar...

Dalamkan Sungai dan Bina Saliran Baharu Antara Langkah Mitigasi Atasi Banjir Sekitar KK – Mustapha

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerja mendalamkan sungai, menyelenggara sistem perparitan serta membina saliran baharu antara langkah mitigasi yang dicadangkan kerajaan bagi mengurangkan risiko banjir di sekitar Kota Kinabalu, khususnya kawasan Parlimen Sepanggar susulan peningkatan taburan hujan dan ketidaktentuan cuaca.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, langkah itu merupakan antara penyelesaian jangka pendek yang perlu diberi keutamaan, terutama di kawasan berisiko tinggi atau hotspot banjir menjelang musim Monsun Timur Laut.

Sehubungan itu, katanya, semua agensi berkaitan termasuk wakil Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) diminta mengenal pasti serta mengemukakan senarai projek mitigasi banjir dalam tempoh dua minggu bagi membolehkan tindakan segera diambil.

“Kita telah meminta semua agensi terlibat untuk menyenaraikan projek yang boleh membantu mengurangkan risiko banjir, contohnya kerja mendalamkan sungai, menyelenggara parit yang tidak diselenggara atau membina parit baharu.

“Senarai ini perlu dikemukakan dalam tempoh dua minggu supaya kita dapat mencari kaedah untuk melaksanakannya dengan segera, terutama di kawasan hotspot banjir sekitar Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Khas Penyelarasan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Kinabalu bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), di sini, pada Rabu.

Mustapha berkata, statistik kejadian bencana di sekitar Kota Kinabalu menunjukkan peningkatan, khususnya melibatkan banjir dan tanah runtuh akibat taburan hujan yang semakin tinggi serta keadaan cuaca tidak menentu.

Menurutnya, keadaan itu turut dipengaruhi sistem perparitan lama yang tidak lagi mampu menampung jumlah air hujan, selain pembangunan kawasan sekitar yang menyebabkan kawasan rendah menjadi lokasi takungan air.

“Satu faktor ialah peningkatan taburan hujan yang menyebabkan banjir kilat, manakala faktor lain ialah penyelenggaraan sistem perparitan yang mungkin tidak dilaksanakan secara berkala.

“Kita juga mendapati terdapat taman perumahan lama yang reka bentuk paritnya sesuai ketika kawasan itu mula dibangunkan, tetapi kini tidak lagi mampu menampung jumlah hujan semasa,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar turut memberi contoh kawasan Taman Mujaya Park dan Kampung Rampayan yang berdepan risiko banjir apabila pembangunan di kawasan sekeliling yang lebih tinggi menyebabkan kawasan rendah menjadi seolah-olah kolam takungan.

Katanya, keadaan itu memerlukan pendekatan lebih menyeluruh, termasuk pelaksanaan projek saliran alternatif serta penambahbaikan sistem perparitan sedia ada.

Bagi penyelesaian jangka panjang, Mustapha memaklumkan bahawa Projek Tebatan Banjir Sungai Rampayan Fasa 2 akan dimasukkan dalam Rolling Plan Kedua (RP2) bagi membantu mengurangkan risiko banjir di sepanjang aliran sungai berkenaan.

“Saya fikir projek ini akan dapat membantu mengurangkan risiko banjir untuk jangka panjang, bukan sahaja di Sungai Rampayan tetapi juga kawasan lain yang berada dalam aliran sama,” katanya.

Dalam pada itu, Mustapha menasihatkan penduduk khususnya di kawasan hotspot banjir sekitar Kota Kinabalu dan Sepanggar supaya sentiasa berwaspada serta meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut.

Katanya, peningkatan taburan hujan dan keadaan cuaca yang semakin tidak menentu memerlukan semua pihak bersedia menghadapi kemungkinan kejadian banjir berulang.

“Walaupun ada projek yang mungkin tidak sempat dilaksanakan dalam masa terdekat, kita tetap akan melaksanakannya kerana fenomena banjir ini akan sentiasa berlaku.

“Yang penting sekarang ialah usaha untuk mengatasi dan mengurangkan risiko banjir,” katanya.