RM17 Juta Perkasa Industri Ternakan Lembu, Kambing Sabah

RM17 Juta Perkasa Industri Ternakan Lembu, Kambing Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperuntukkan kira-kira RM17 juta bagi memperkasa industri ternakan lembu dan kambing menerusi Projek Ruminan Sabah 2026, khususnya dalam meningkatkan produktiviti serta kualiti baka ternakan tempatan.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, inisiatif itu memberi tumpuan kepada peningkatan hasil ternakan lembu pedaging, lembu tenusu dan kambing melalui penggunaan baka lebih berkualiti.

Menurutnya, langkah berkenaan penting memandangkan sebahagian besar penternak di negeri ini masih bergantung kepada baka lama yang kurang produktif.

“Program ini bertujuan menambah baik sektor ternakan ruminan, khususnya lembu pedaging, lembu tenusu dan kambing, melalui penggunaan baka yang lebih berkualiti.

“Sebahagian besar penternak kita masih menggunakan baka lama yang kurang produktif. Dengan bantuan ini, kita berharap hasil ternakan mereka dapat ditingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Ternakan dan Input Ladang Projek Ruminan Sabah 2026 di Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Daerah Penampang, pada Rabu.

Jamawi berkata, seramai 43 penternak menerima bantuan berkenaan, terdiri daripada 22 peserta ternakan lembu pedaging, 19 peserta kambing dan dua peserta lembu tenusu.

Katanya, penerima dipilih dalam kalangan penternak yang telah mengikuti kursus khusus, mengemukakan permohonan bantuan serta memulakan aktiviti penternakan masing-masing.

Beliau berkata, ternakan yang dibekalkan mempunyai potensi pembiakan yang baik, sekali gus mampu meningkatkan populasi ternakan dan memperbaiki kualiti baka tempatan.

Menurutnya, program berkenaan akan diteruskan tahun depan dengan kuantiti bantuan yang sama dan dirancang berlangsung sehingga 2030.

Dalam pada itu, Jamawi menegaskan penerima bantuan perlu mematuhi syarat ditetapkan, termasuk memastikan ternakan dijaga dengan baik dan tidak dijual tanpa kebenaran DVS.

Katanya, penerima berdepan risiko kehilangan wang cagaran sekiranya ternakan mati akibat kecuaian atau dijual tanpa kebenaran, selain boleh disenarai hitam daripada menyertai program bantuan pada masa hadapan.

Tambahnya, pemantauan berterusan akan dilaksanakan oleh pegawai DVS di daerah masing-masing bagi memastikan bantuan dimanfaatkan mengikut tujuan ditetapkan.