Hajiji Mahu MOTAC Perhebat Promosi, Tarik Lebih Ramai Pelancong Sempena Tahun Melawat...

Hajiji Mahu MOTAC Perhebat Promosi, Tarik Lebih Ramai Pelancong Sempena Tahun Melawat Sabah 2027

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mahu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memperhebat usaha promosi bagi menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa sempena Tahun Melawat Sabah 2027.

Beliau berharap kementerian itu terus memberikan sokongan dan kerjasama erat kepada Kerajaan Negeri bagi memastikan penganjuran Tahun Melawat Sabah 2027 dapat dijayakan.

Menurutnya, kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan penting dalam memperkukuh industri pelancongan, sekali gus meningkatkan sumbangan sektor berkenaan kepada pertumbuhan ekonomi Sabah.

Perkara itu dibincangkan ketika Hajiji menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man bersama delegasi MOTAC di Menara Kinabalu, di sini.

Kunjungan berkenaan turut memberi ruang kepada MOTAC untuk membentangkan perkembangan program dan inisiatif pelancongan yang dilaksanakan di Sabah, selain membincangkan usaha memperkukuh kerjasama kedua-dua pihak.

Tahun Melawat Sabah 2027 dilihat sebagai platform penting untuk memperluas promosi destinasi pelancongan negeri, meningkatkan kedatangan pelawat serta merancakkan industri pelancongan tempatan.

Turut menyertai delegasi MOTAC ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Chua Choon Hwa dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim serta beberapa pegawai kanan kementerian berkenaan.