Ewon Mahu Persetujuan Sabah Bagi Pindaan Undang-Undang Maritim

Ewon Mahu Persetujuan Sabah Bagi Pindaan Undang-Undang Maritim

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan perlu mendapatkan persetujuan Kerajaan Sabah sebelum membentangkan sebarang undang-undang baharu atau pindaan berkaitan maritim dan perkapalan di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick berkata, langkah itu penting selaras dengan Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan serta semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Dalam perbahasan sama, Ewon meminta penjelasan mengenai lokasi projek pembaikan dan pembinaan jeti di Sabah membabitkan peruntukan RM10 juta serta projek sambungan rel ke pelabuhan bernilai RM18.108 juta.

Beliau turut mencadangkan pembinaan laluan kereta api ke Pelabuhan Sepanggar dan berharap hasil kajian kebolehlaksanaan Trans-Borneo Railway dibentangkan kepada Kabinet Sabah serta dimasukkan dalam Kajian Separuh Penggal RMK-13.

Dalam sektor penerbangan, Ewon mengalu-alukan peruntukan RM442.3 juta bagi pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan RM120.9 juta untuk menaik taraf Lapangan Terbang Tawau.

Beliau turut menggesa penambahbaikan kemudahan lapangan terbang, termasuk pengendalian kargo di KKIA, selain mencadangkan kajian pembinaan lapangan terbang baharu di Sabah, termasuk Lahad Datu.

Sementara itu, Ewon mencadangkan penambahan anggota penguat kuasa Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, penyeragaman kaedah kompaun terhadap syarikat pengangkutan serta pembangunan pusat kawalan bersepadu penguatkuasaan pengangkutan.