KOTA KINABALU: Kempen tiada lagi penggunaan plastik ketika membeli belah di kawasan daerah ini membuahkan idea-idea kreatif pengguna untuk membawa bakul tradisional sendiri ke pasar raya yang digunakan sebagai pengganti kepada plastik.
Baru sahaja berkuatkuasa bulan Ogos tahun ini, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melancarkan kempen di mana semua premis perniagaan di daerah ini tidak lagi akan membekalkan beg plastik kepada pembeli.
Baru-baru ini di aplikasi X tular sebuah hantaran di mana rakyat Sabah dilihat mulai menggunakan bakul tradional untuk ke pasar raya bagi menggantikan beg plastik berkenaan.
Perkara ini kemudiannya mendapat perhatian netizen di mana rata-ratanya memuji tindakan rakyat Sabah berkenaan.
Bukan setakat itu, ada juga yang ingin membeli bakul tradisional Sabah tersebut dan ada juga yang mengatakan ini merupakan inisiatif yang baik bagi menggantikan penggunaan beg plastik.
Kempen tiada beg plastik ini adalah merupakan langkah awal untuk mengajak masyarakat menangani isu plastik dan perubahan iklim, selaras dengan salah satu daripada 17 matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pada awalnya, kempen ini kurang mendapat sambutan daripada masyarakat dan peniaga. Namun, setelah melalui beberapa fasa dan usaha pendidikan, ia kini mendapat sambutan positif daripada semua pihak.