Isuzu D-max Terbabas di Jalan Balung, Pemandu Tersepit

Isuzu D-max Terbabas di Jalan Balung, Pemandu Tersepit

0
SHARE

TAWAU: Seorang lelaki tersepit selepas Isuzu D-max yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas sendiri di Jalan Balung pada tengah hari Sabtu.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Mohd Yahya Abd Fattah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 12.13 tengah hari. 

Susulan itu katanya, seramai enam anggota bomba dari BBP Tawau telah diarahkan ke lokasi kejadian yang berada sejauh 49 kilometer.

“Terdapat dua orang mangsa terlibat, seorang mangsa, Redzuan Chin Abdullah, 49, berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi.

“Manakala mangsa kedua, iaitu pemandu, Chia Shung Chuan, 44, didapati tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mangsa seterusnya diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Balung menggunakan Ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.35 petang.