Lelaki Warga Asing Ditahan Bersama Motosikal Curi di Tawau

Lelaki Warga Asing Ditahan Bersama Motosikal Curi di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Seorang lelaki warga asing berusia 20-an ditahan polis selepas dipercayai memiliki sebuah motosikal Yamaha 135LC yang dilaporkan hilang di kawasan parkir belakang Eastern Plaza, di sini, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek ditahan sepasukan anggota Strike Team Balai Polis Tawau ketika menjalankan rondaan cegah jenayah di Jalan Kausing Baru, kira-kira jam 2.30 petang, Isnin.

Katanya, suspek ditahan ketika berada di atas motosikal berkenaan di hadapan sebuah rumah sebelum pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran berbeza.

“Siasatan awal mendapati motosikal berkenaan mempunyai rekod hilang berdasarkan semakan nombor casis menerusi sistem Mobile Card Acceptance Device (MCAD),” katanya dalam kenyataan, di sini semalam.

Menurutnya, motosikal itu dilaporkan hilang pada 14 Oktober lalu selepas diletakkan di kawasan parkir belakang Eastern Plaza, kira-kira jam 11.40 malam.

Beliau berkata, semakan turut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.

“Suspek bersama motosikal yang dirampas dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Rosdi turut menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang terbabit dalam kegiatan mencuri atau memiliki kenderaan curi.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan langkah keselamatan kenderaan dan segera melaporkan sebarang kejadian kehilangan kepada pihak polis.