Pertahankan Kemerdekaan Tugas Generasi Kini – Verdon

Pertahankan Kemerdekaan Tugas Generasi Kini – Verdon

0
SHARE
Verdon
Semangat kibaran Jalur Gemilang dan Bendera Sabah oleh semua yang hadir dalam program itu ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KUDAT, SABAH – Mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi adalah tugas generasi masa kini, kata Ahli Parlimen Kudat Datuk Verdon Bahanda.

Menurutnya, kemerdekaan hasil perjuangan pemimpin dan generasi terdahulu perlu dipertahankan oleh generasi yang telah merdeka.

“Tugas kita sebagai golongan yang telah merdeka atas perjuangan orang terdahulu adalah untuk mempertahankan apa yang telah diperjuangkan oleh orang terdahulu pemimpin terdahulu ataupun nenek moyang kita.

“Jadi, tugasan ini tidaklah begitu sukar berbanding apa yang telah mereka lakukan sejak dahulu sehingga kita merdeka dan sepatutnya tugasan ini hanya memerlukan pengorbanan daripada seluruh masyarakat amnya seluruh Malaysia agar kita bersatu padu.

“Kita terus bertekad untuk mempertahankan kedaulatan ini, kemerdekaan ini dengan cara kerjasama semua pihak dan bersatu padu sehingga selamanya,” ujar belia semasa ditemui media selepas merasmikan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024 dan Kempen Kibar Bendera Peringkat Daerah Kudat di Astaka Mini Kompleks Sukan Kudat,” jelas beliau.

Menurut Verdon, penglibatan pihaknya untuk kali kedua dalam Program KMJG tersebut adalah penting untuk memperbaharui semangat dan kecintaan kita kepada negara dan juga Sabah.

“Kebetulan pada tahun ini merupakan pertama kali kita akan menyambut Hari Sabah jadi ini adalah satu sambutan berganda bagi kita di Sabah,” ujarnya.

Kudat yang didiami lebih 10 etnik menjadi persinggahan ke-51 Konvoi KMJG 2024 setelah 18 hari mengelilingi Sabah dan akan tamat di Kota Kinabalu. — JABATAN PENERANGAN SABAH