ADIK JAYDEN BERJAYA DITEMUI HARI INI DI BUKIT JANGGUT SEPANGGAR

ADIK JAYDEN BERJAYA DITEMUI HARI INI DI BUKIT JANGGUT SEPANGGAR

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kanak-kanak pengidap penyakit autisme, Jayden Gabriel Peter, yang dilaporkan hilang dari rumah di Kampung Malawa, Sepanggar, sini sejak 3 petang semalam (Jumaat) ditemui selamat hari ini.

Kanak-kanak berumur 5 tahun yang diberikan nama manja ‘adik Jayden’ oleh netizen yang turut risau serta mendoakan keselamatannya ditemui dengan pelbagai kesan luka pada tubuhnya di Bukit Janggut berhampiran rumahnya pada kira-kira 1.30 tengah hari.

Sebelum ini, mangsa lelaki itu dikatakan hilang dari rumah dalam keadaan tidak memakai seluar atau baju.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah melaporkan operasi mencari dan menyelemat (SAR) dimulakan semula pada jam 8.50 pagi hari ini bersama agensi Polis termasuk bantuan daripada orang awam susulan hebahan media tempatan.

Selain unit K9 Bomba, Unit Dron Polis turut disokong Club Dron Bayu dengan meluaskan darjah penglihatan di udara.

Sumber itu menganggarkan seramai 50 penduduk Malawa berganding bahu dalam pencarian termasuklah pendaki bukit.

“Operasi SAR dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan radius pencarian 2 Km dari rumah mangsa.

“Mangsa telah ditemui oleh orang awam dalam keadaan selamat seterusnya diberikan rawatan oleh pasukan EMRS dan dihantar ke Hospital Likas menggunakan jentera EMRS bagi rawatan selanjutnya…

“Operasi ditamatkan pada jam 2 petang,” katanya.