AJK Bersatu Beluran Letak Jawatan, Dakwa Muhyiddin Dijadikan “Poster Boy”

AJK Bersatu Beluran Letak Jawatan, Dakwa Muhyiddin Dijadikan “Poster Boy”

0
SHARE

BELURAN: Semua Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian Bersatu Beluran mengumumkan peletakan jawatan serta-merta selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha bahagian, Hamdan Tarawie berkata, parti itu kini dilihat lebih tertumpu kepada agenda mengangkat Muhyiddin sebagai “poster boy” dan calon Perdana Menteri sehingga keputusan parti dianggap berpaksikan kepentingan tersebut.

“Parti kini dilihat lebih tertumpu kepada agenda peribadi untuk mengangkat Presiden sebagai ‘poster boy’ dan calon Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau turut mempersoalkan tindakan disiplin terhadap beberapa pemimpin parti termasuk Hamzah Zainudin, Ronald Kiandee dan Mas Ermieyati Samsudin yang didakwa mencerminkan penggunaan lembaga disiplin sebagai alat politik.

Menurutnya, isu perjuangan rakyat Sabah khususnya Bumiputera juga semakin diketepikan.

Sehubungan itu, semua AJK Bahagian Bersatu Beluran meletakkan jawatan daripada semua jawatan parti serta menamatkan keahlian mereka berkuat kuasa serta-merta.