TAWAU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau telah melaksanakan Program ‘Santun Ramadhan’ dengan menyalurkan sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan dan terkesan akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata inisiatif itu adalah cetusan idea warga Zon Maritim Tawau yang berhasrat membantu dan menyumbang kepada golongan asnaf di daerah itu.
“Usaha murni ini telah mendapat sokongan seluruh warga Maritim Tawau melalui kutipan derma ikhlas yang dijalankan bagi menyalurkan sumbangan kepada asnaf setempat…
“Sebanyak 33 bakul makanan berjaya disediakan dari hasil kutipan derma dan diagihkan dalam tiga sesi kepada tiga kelompok komuniti,” katanya.
Siri pertama agihan pada Rabu minggu lalu membabitkan Unit Operasi Bot menyalurkan sumbangan sebanyak 16 bakul makanan kepada 16 ketua keluarga dari Kampung Tanjung Batu Laut dan Kampung Titingan.
“Mereka merupakan kelompok komuniti pesisir pantai yang turut terkesan dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan…
“Agihan sesi kedua dilakukan pada hari berikutnya oleh anggota-anggota dari Pos Maritim Indera Sabah kepada 10 ketua keluarga yang terdiri dari golongan kurang berkemampuan yang menetap di Kampung Indera Sabah,” tambah beliau.
Kemuncak program berlangsung pada Jumaat lalu dengan penyerahan sumbangan bakul makanan di pejabat Zon Maritim Tawau kepada tujuh ketua keluarga yang turut terkesan dan dipilih oleh ahli jawatankuasa program komuniti setempat.