BN Sabah Salahkan Shafie Punca Krisis Air dan TSGP, Rakyat Sabah Jadi...

BN Sabah Salahkan Shafie Punca Krisis Air dan TSGP, Rakyat Sabah Jadi Mangsa

0
SHARE

KOTA KINABALU: Beberapa pemimpin BN Sabah terus membidas Datuk Seri Shafie Apdal, menuduhnya sebagai punca utama krisis air dan kegagalan mempertahankan kepentingan negeri dalam Projek Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP).

Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir, menyifatkan Shafie sebagai “arkitek krisis air Sabah” selepas menamatkan kontrak enam konsesi loji rawatan air pada 2019 tanpa pelan gantian.

Menurutnya, tindakan itu menyebabkan kerajaan negeri terpaksa membayar pampasan RM315 juta, manakala rakyat kini beratur dengan baldi untuk mendapatkan bekalan air bersih.

ADUN Dilantik, Datuk Raime Unggi pula mempersoalkan kenyataan Shafie berhubung TSGP yang didakwa dibatalkan kerajaan Persekutuan.

Katanya, Shafie bercanggah apabila mendakwa Sabah terpaksa membayar hutang projek itu, sedangkan tiada bukti rasmi dibentangkan. 

Beliau menegaskan Shafie gagal menggunakan kuasa sebagai Ketua Menteri ketika itu untuk mempertahankan hak Sabah.

Sementara itu, Ketua Penerangan BNCom Kalabakan, Muhammad Faizul Mustapa, menegaskan kegagalan Shafie mengurus isu air tidak boleh diselindungkan dengan alasan kontrak bermasalah.

Katanya, Shafie sendiri ketika itu Menteri Kewangan yang sepatutnya merangka pelan reformasi, tetapi memilih jalan mudah memutus kontrak dan meninggalkan rakyat terus menderita.

Mereka turut menegaskan bahawa alasan retorik Warisan kononnya untuk “menjimatkan kos” hanyalah helah politik, kerana hakikatnya rakyat kini terpaksa membayar harga lebih mahal melalui beban hidup, termasuk membeli air dari lori dan menadah hujan untuk kegunaan harian.

Bagi emimpin BN Sabah, kegagalan Shafie dalam isu air dan TSGP adalah bukti jelas bahawa pentadbirannya lemah, tidak berstrategi, dan lebih mementingkan kepentingan politik peribadi berbanding kesejahteraan rakyat.

“Sejarah akan mencatat Shafie bukan sebagai penyelamat, tetapi sebagai punca krisis terburuk dalam sejarah Sabah,” tegas mereka.