KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin kesal apabila Portal MalaysiaKini yang mengeluarkan artikel semula mengenai isu rasuah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah telah mengaitkan ADUN daripada UMNO pula.
Bung dalam satu kenyataan semalam berkata, tindakan itu sebagai cubaan dari pihak Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memfitnah UMNO Sabah.
“Tindakan ini bukan sahaja tidak bermoral, malah cukup memalukan kerana pihak yang terlibat sanggup melakukan apa sahaja, termasuk mengarang skrip semata-mata untuk menyelamatkan kedudukan mereka.
“Sehubungan itu, saya menuntut penjelasan daripada individu yang disebut dalam artikel tersebut, iaitu Datuk Arifin Mohd Arif, berkenaan dakwaan beliau terlibat dalam penyediaan skrip yang mengaitkan ADUN UMNO dalam isu ini.
“Isu video tular yang membabitkan skandal rasuah ADUN Sabah ini sukar untuk dinafikan lagi. Rakyat sudah mula sedar akan kebenarannya, dan hanya penyokong tegar parti mereka sahaja yang masih cuba mempertahankan sesuatu yang jelas terbongkar,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Bung dalam kenyataan sama turut menggesa pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk segera mengambil tindakan dan membawa semua yang terlibat ke muka pengadilan tanpa sebarang kompromi.
“Mereka yang melakukan kesalahan harus bertanggungjawab sepenuhnya. Jangan cuba melarikan diri atau berdolak-dalik apabila kebenaran terbongkar,” katanya lagi.
MKini semalam berkata, pemberi maklumat yang mendedahkan siri video yang mengaitkan beberapa ADUN Sabah dalam skandal rasuah mendakwa menantu kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman telah menawarkan penyelesaian untuk menutup mulutnya.
“Menurut ahli perniagaan itu, tawaran penyelesaian yang didakwa termasuk pemulihan lesen penerokaan mineral yang telah dibatalkan dengan syarat dia mengeluarkan kenyataan umum bahawa dana yang bertukar tangan tersebut adalah sumbangan politik.
“Dia turut berkongsi draf kenyataan media yang dikatakan telah disediakan untuknya, menyatakan bahawa dirinya membuat “sumbangan” serupa kepada Adun daripada Umno, Star dan PBS,” lapor MKini.






