Catatan Keempat SM St Patrick Dalam The Malaysia Book Of Records.

Catatan Keempat SM St Patrick Dalam The Malaysia Book Of Records.

0
SHARE
Peta
Peta Terbesar Negeri Sabah yang dihasilkan daripada penutup botol dari pandangan udara ( Sumber Foto: Aruz Photography )

MEMBAKUT, SABAH – Selepas tiga kejayaan lalu, Sekolah Menengah St Patrick sekali lagi berjaya mencatat nama dalam The Malaysia Book Of Records menerusi “The Biggest State Map Made Of Bottle Caps”.

Pada kali ini, kira-kira 800 orang terdiri daripada warga sekolah, para pelajar dan bekas pelajar serta ibu bapa terlibat menghasilkan peta terbesar Sabah menggunakan 308,160 penutup botol minuman berukuran 31 meter panjang dan 10.2 meter lebar.

Menurut Pengetua SM St. Patrick Richard David, idea serta usaha mengumpul penutup minuman tersebut bermula sejak tahun 2019 lagi namun tertangguh akibat pandemik Covid-19 dengan menetapkan tiga objektif utama.

“Pertama, sempena bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia kita mahu membangkitkan semangat cintakan negara dalam kalangan masyarakat terutama di Membakut dan menyemai cinta para pelajar kepada negara.

“Kedua, bagi memupuk kerjasama dalam kalangan para, alumni, bekas pelajar, ibu bapa dan juga dalam kalangan warga sekolah.

“Ketiga, sebenarnya kita mahu membudayakan sikap mencintai alam sekitar menerusi aktiviti kitar semula, dalam kes ini penutup botol untuk dijadikan produk yang bermakna. Itu yang kami cuba terapkan kepada para pelajar,” katanya.

Ketika bercakap kepada media, Richard menjelaskan, selain tiga objektif tersebut warga sekolah juga komited merealisasikan hasrat Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Arif untuk mengangkat nama Membakut sekali gus menjadi tarikan kepada masyarakat dari luar daerah untuk berkunjung ke daerah tersebut.

Sementara itu, Arifin yang juga ADUN Membakut menzahirkan rasa syukur dan mengucapkan tahniah kepada sekolah terbabit atas pencapaian yang amat membanggakan itu.

“Ini pencapaian yang luar biasa dan tidak akan tercapai kecemerlangan ini melainkan dengan kesungguhan komitmen kerjasama dan semangat dalam kalangan guru ibu bapa dan murid-murid.

“Bagi pihak kerajaan negeri, saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada SM Patrik kerana ini ada hubungan dengan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

“Kita seharusnya tidak lupa kepada perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan sebelum ini walau siapapun mereka kerana mereka telah bersama-sama untuk memperjuangkan tanahair negeri dan negara yang tercinta,” ujarnya ketika merasmikan majlis pelancaran rekod keempat SM. St. Patrick dalam Buku Rekod Malaysia di sini, pada Jumaat.

SM St. Patrick telah berjaya mencatatkan nama dalam  The Malaysia Book Of Records menerusi  Jalur Gemilang Terpanjang dan Terbanyak daripada botol minuman 500ml di Malaysia pada 11 September 2009.

Rekod seterusnya dicatat lagi pada 26 September 2014 dengan Bendera Sabah Terpanjang Daripada Tin Minuman, diikuti Anyaman Penutup Tin Minuman Terbesar di Malaysia pada 15 September 2017. — JABATAN PENERANGAN SABAH