Cuti Tambahan Raya Pada Jumaat atau Isnin – PM

Cuti Tambahan Raya Pada Jumaat atau Isnin – PM

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan mengumumkan cuti tambahan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, sama ada pada hari Jumaat atau Isnin, tertakluk kepada tarikh sebenar perayaan tersebut, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, langkah itu bertujuan memberi kemudahan kepada rakyat untuk membuat persiapan serta merancang perjalanan pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

Kerajaan bersetuju memberikan cuti tambahan sama ada pada hari Jumaat atau Isnin, tertakluk kepada tarikh Hari Raya Aidilfitri, bagi memudahkan rakyat merancang perjalanan pulang ke kampung halaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2026 yang diadakan di Pusat Beli-Belah Suria Sabah, di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, kerajaan turut melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Aidilfitri (SHMMP) 2026 yang berkuat kuasa dari 14 hingga 28 Mac 2026 bagi memastikan harga barangan keperluan kekal terkawal sepanjang musim perayaan.

Anwar berkata tempoh pelaksanaan skim tersebut merangkumi tujuh hari semasa perayaan dan tujuh hari selepas perayaan, sebagai langkah melindungi pengguna daripada kenaikan harga yang tidak munasabah.

Menurutnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengenal pasti jenis barangan yang akan dikawal di bawah skim berkenaan mengikut lokasi, iaitu 24 barangan di Semenanjung, 23 barangan di Sabah dan Sarawak serta 22 barangan di Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau berharap inisiatif yang diumumkan itu dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat selain memastikan harga barangan kekal berpatutan menjelang sambutan Aidilfitri.

“Semoga Syawal yang bakal tiba membawa lebih kebahagiaan, keberkatan dan kesejahteraan buat seluruh rakyat Malaysia,” katanya.