Dua Tahun Berturut-turut Harumkan Nama Malaysia & Sabah: Guru Besar SK Likas...

Dua Tahun Berturut-turut Harumkan Nama Malaysia & Sabah: Guru Besar SK Likas Raih Principals Speak Award 2025 Peringkat Antarabangsa

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Dunia pendidikan antarabangsa sekali lagi memberi pengiktirafan kepada kepimpinan sekolah dari Malaysia apabila Budhi Rahmad Bin Suparno, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Likas, Kota Kinabalu, diumumkan sebagai pemenang Principals Speak Award 2025 bagi kategori Popular Choice.

Lebih membanggakan, kejayaan ini merupakan tahun kedua berturut-turut beliau menerima anugerah berprestij tersebut, sekali gus membuktikan konsistensi kecemerlangan, kepimpinan berimpak tinggi serta komitmen berterusan dalam menerajui sekolah dan memperkasa komuniti pendidikan.

Anugerah Principals Speak Award dianjurkan oleh Global School Leaders, sebuah organisasi antarabangsa yang mengiktiraf pengetua dan pemimpin sekolah dari seluruh dunia berdasarkan idea, inovasi serta projek kepimpinan yang membawa perubahan positif kepada sekolah dan masyarakat setempat.

Bagi tahun 2025, empat pemenang utama telah diumumkan iaitu Mabel Valdez (Argentina), George Arwa (Kenya), Ali Rosyidi (Indonesia) dan Budhi Rahmad Bin Suparno (Malaysia) yang dipilih melalui sokongan undian awam bagi kategori Popular Choice.

Kejayaan dua tahun berturut-turut ini bukan sahaja mengharumkan nama SK Likas, Kota Kinabalu, malah menjadi kebanggaan besar kepada negeri Sabah dan Malaysia di persada pendidikan antarabangsa. Ia membuktikan bahawa kepimpinan sekolah di Sabah mampu berdiri setanding dengan pemimpin pendidikan dari negara-negara lain di dunia.

Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua pengetua yang mengambil bahagian sambil menegaskan bahawa platform Principals Speak diwujudkan untuk memberi ruang kepada pemimpin sekolah berkongsi kisah kepimpinan, pengalaman, cabaran serta amalan terbaik demi memperkukuh ekosistem pendidikan global.

Kejayaan ini diharap menjadi inspirasi kepada seluruh warga pendidik, khususnya di Sabah, agar terus berinovasi, berani berkongsi idea dan tidak jemu berusaha membawa perubahan positif demi masa depan pendidikan anak bangsa.