Fitnah Rakaman Suara: Anifah Nafi Arahan Elaun Pengundi Luar

Fitnah Rakaman Suara: Anifah Nafi Arahan Elaun Pengundi Luar

0
SHARE

BONGAWAN: Ahli Majlis Tertinggi Parti Cinta Sabah (PCS) Siti Rukiah Ahmad membuat laporan polis bagi pihak Presiden PCS yang juga calon GRS Bongawan, Tan Sri Anifah Aman, berhubung rakaman suara yang tular dalam kumpulan WhatsApp “PENGUNDI LUAR.”

Rakaman itu mendakwa Anifah mengarahkan pengundi luar kawasan mengambil elaun perjalanan di BTC Luyang untuk pulang mengundi.

Rukiah dalam laporannya pada Selasa menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan Anifah tidak pernah mengeluarkan arahan begitu.

Anifah mengecam penyebaran rakaman itu sebagai cubaan menipu pengundi dan taktik terdesak menjelang pilihan raya.

“Politik bukan gelanggang penipuan. Politik adalah amanah.

“Saya menyeru semua pihak terutama lawan politik saya berpolitiklah secara gentlemen.

“Berjuanglah dengan jujur, ikhlas, dan beradab,” tegasnya dalam satu muat naik di Facebook.

Beliau berkata, tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang menyebarkan tuduhan tersebut demi mempertahankan reputasinya dan integriti perjuangannya di Bongawan.