KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menafikan dakwaan ahli perniagaan Albert Tei bahawa beliau telah dihalang daripada memasuki Sabah atas arahan kerajaan negeri.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar, menyifatkan kenyataan Tei sebagai fitnah dan cubaan jahat untuk memburukkan imej kerajaan negeri.
Menurut Zulkarnain, dakwaan bahawa Tei disekat daripada memasuki Sabah bagi menghadiri perbicaraan mahkamahnya adalah tidak berasas.
“Sekiranya beliau benar-benar mengemukakan surat rasmi bagi tujuan menghadiri prosiding mahkamah, kerajaan negeri tidak akan menghalang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa berdasarkan maklumat diterima, Tei tidak menyerahkan sebarang dokumen rasmi dan sebaliknya mendakwa datang ke Sabah untuk bercuti.
“Tindakan kerajaan negeri melarang kemasukan beliau dibuat selepas Albert Tei dikaitkan dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Mineral Management Sdn. Bhd. (SMM) dalam kes permohonan lesen mineral yang mencurigakan,” tambahnya.
Menurut Zulkarnain, langkah itu dibuat selaras dengan hak autonomi negeri Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk menapis kemasukan individu atas faktor keselamatan dan kepentingan awam.
Beliau turut menegaskan bahawa langkah sedemikian bukan perkara baharu, memetik contoh tokoh politik seperti Lim Guan Eng dan Rafizi Ramli yang pernah dikenakan sekatan kemasukan ke Sarawak atas sebab tertentu.
“Tidak timbul isu politik atau diskriminasi. Sabah berhak melindungi kepentingan negeri dan rakyatnya daripada individu yang terlibat dalam siasatan serius,” katanya lagi.
Zulkarnain turut memberi amaran bahawa G57 tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya Tei terus mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.
“Rakyat Sabah sudah matang dan tahu menilai. Negeri ini bukan tempat untuk mereka yang cuba memperdaya sistem demi kepentingan peribadi,” katanya.






