
PENAMPANG, SABAH – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang telah membuka satu kertas siasatan berkaitan video tular kes pergaduhan yang berlaku di kawasan parkir kenderaan di Megalong pada Khamis.
Menurut Ketua Polis Daerah Penampang, Supt Sammy Newton, dua orang yang terbabit di dalam video tersebut ditangkap dalam pada Sabtu (20 Julai).
“Tangkapan pertama merupakan seorang perempuan warga asing berumur 18 tahun yang merupakan suspek yang dilihat memukul mangsa dalam video yang berdurasi dua minit 16 saat tersebut.
“Manakala tangkapan kedua merupakan seorang perempuan warga asing (mangsa dipukul) berumur 25 tahun kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pihak polis juga telah menggerakan pasukan bagi mengesan seorang lagi saspek yang dilihat memukul mangsa,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Sammy berkata motif kejadian dikatakan kerana mangsa dipukul mempunyai hubungan sulit dengan suami suspek yang masih bebas.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mendatangkan cedera serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia,” Sammy berkata.
Beliau turut menyeru kepada orang awam agar sebarang maklumat berkaitan kes tersebut disalur kepada IPD Penampang di talian 088-712222.