Gangguan dan Maklumat Salah: SJA Gesa Perketat Kawalan di Mahkamah

Gangguan dan Maklumat Salah: SJA Gesa Perketat Kawalan di Mahkamah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Persatuan Wartawan Sabah (SJA) menyuarakan kebimbangan serius berhubung gangguan yang dialami pengamal media semasa liputan kes Allahyarhamah Zara Qairina.

Presiden SJA, Mariah Doksil berkata, laporan menunjukkan terdapat individu tidak dikenali yang menyusup masuk dalam kalangan wartawan berdaftar semasa sidang media inkues baru-baru ini.

“Dua wartawan wanita mengadu kedudukan badan individu terbabit terlalu rapat sehingga menyentuh mereka. Justeru, pihak SJA mahu aspek penguatkuasaan yang lebih ketat untuk melindungi wartawan yang bertugas,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

SJA juga menegaskan kewujudan pihak tidak berdaftar yang menggunakan zon media untuk membuat penstriman langsung bermotif keuntungan menjejaskan kerja wartawan sebenar serta berisiko menyebarkan maklumat tidak tepat.

“Maklumat yang salah seperti kesilapan melaporkan prosiding undang-undang disebarkan secara meluas oleh sumber yang tidak disahkan.

“Akses kepada sidang media sepatutnya mengutamakan media berdaftar untuk memastikan laporan yang tepat,” tambahnya.

Sehubungan itu, SJA menggesa pihak berkuasa memperketatkan kawalan akses di kawasan larangan seperti mahkamah bagi memastikan hanya media berdaftar diberi keutamaan.