KOTA KINABALU: Seramai 53 graduan berusia antara 18 hingga 67 tahun diraikan dalam Majlis Konvokesyen Master Reiki Ke-5 Tahun 2025 yang berlangsung meriah di Bilik Kinabalu, Sabah International Convention Centre (SICC) di sini.
Majlis berprestij anjuran Anggun Creative Management itu menobatkan para graduan sebagai pengamal terapi bertauliah dengan pengiktirafan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
Perasmian disempurnakan oleh Naib Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Aziah Atoh yang juga Timbalan Pengerusi Asian Supply Base Sdn Bhd. Turut hadir, Pengurus Anggun Creative Management, Hajah Rohani Kassim bersama penerima sijil.
Dalam ucapannya, Datuk Aziah merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur kerana melahirkan lebih ramai pengamal terapi berkemahiran dan berkelayakan untuk memberi manfaat kepada masyarakat.
“Reiki merupakan salah satu bentuk terapi alternatif yang membantu kesejahteraan mental, emosi dan spiritual.
“Kehadiran pengamal Reiki diharap menjadi agen penyebar aura positif serta membantu lebih ramai masyarakat di luar sana.
“Master Reiki bukan sahaja ilmu penyembuhan alternatif, malah ia seni mengurus tenaga dalaman untuk membentuk kesejahteraan fizikal, mental dan spiritual,” katanya.
Beliau turut menyeru agar para graduan menggunakan ilmu tersebut untuk terus berbakti kepada masyarakat serta menjadi agen keseimbangan dalam kehidupan seharian.
Aziah menegaskan, majlis itu bukan sahaja memperkukuh jaringan pengamal terapi alternatif, malah membuktikan bahawa Reiki semakin diyakini dan mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat.






