KOTA KINABALU: Istana Seri Kinabalu semalam mengadakan sesi Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) membabitkan 30 pegawai dan kakitangan, yang berlangsung di Dewan Utama istana berkenaan.
Sesi lafaz ikrar diketuai Setiausaha Sulit kepada Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah, Izarudin Jalaludin, disaksikan Pengarah SPRM Sabah, Datuk Fuad Bee Basrah.
Dalam ucapannya, Izarudin merakamkan penghargaan kepada SPRM Sabah atas kerjasama menjayakan program berkenaan, selain mengingatkan pegawai serta kakitangan bahawa rasuah boleh berlaku dalam pelbagai bentuk termasuk salah guna kuasa dan penyelewengan.
“Integriti adalah kunci untuk mengelakkan diri daripada terpalit dengan rasuah, maka sentiasalah menjadikan integriti sebagai amalan dan pedoman,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Pengarah (Operasi) SPRM Sabah, Syamsul Osman; Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Sabah, Alexander S. Kunghi; Ketua Cawangan Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM Sabah, Maysara Mohammad serta Pegawai PenMas SPRM Sabah, Jasni Gayung.






