KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membuat rampasan dadah terbesar tahun ini dengan lebih 100 kilogram syabu dianggarkan bernilai RM3.36 juta di Pelabuhan Sepanggar pada petang Rabu lalu.
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan berkata dadah yang disembunyikan dalam bungkusan serbuk pencuci tiba dalam sebuah kontena dari Pelabuhan Klang, Selangor.
Katanya kejayaan rampasan ialah hasil maklumat risikan sebelum membuat serbuan dan pemeriksaan dilakukan pegawai dan anggota JKDM dari Cawangan Narkotik, Unit Operasi Penguatkuasaan, Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) Sabah.
“Anggaran berat kasar dadah 101.951 kilogram yang dianggarkan bernilai RM3,364,383.
“Kotak-kotak berkenaan juga mengandungi serbuk pencuci jenama Anchor dipercayai bertujuan untuk mengaburi pihak berkuasa.
“Tiada tangkapan dibuat, namun usaha untuk mengesan pengirim atau penerima sedang dilakukan berdasarkan alamat yang tertera iaitu di sebuah kondominium di Likas,” katanya pada sidang media pada Ahad.
Sementara itu, beliau berkata, setakat 25 Julai 2023, JKDM Zon Sabah merampas sebanyak 122.91 kilogram dadah bernilai RM7.66 juta.