KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan akan meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.
Dalam kenyataan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi GRS malam Ahad, Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kerjasama dengan PH telah banyak membantu menstabilkan politik di Sabah dan membolehkan kerajaan negeri memberi fokus kepada pembangunan, termasuk menyelesaikan isu-isu kemudahan asas.
“Kita akan duduk semeja dengan kepimpinan PH dalam masa terdekat bagi menentukan agihan kerusi yang akan ditandingi oleh parti masing-masing.
“GRS kekal berpendirian bahawa parti-parti tempatan hendaklah mengambil peranan utama dalam kerjasama yang akan dipersetujui,” katanya.
Mesyuarat itu turut menegaskan bahawa GRS tidak membincangkan atau menyentuh sebarang kerjasama dengan parti-parti lain bagi menghadapi PRN17.






