KOTA KINABALU: Kejohanan Bola Sepak Pulau Gaya 2025 melabuhkan tirai pada Ahad selepas lapan hari persaingan melibatkan 32 pasukan dari kampung dan komuniti sekitar pulau itu.
Acara anjuran Ahli Jawatankuasa Parti Gagasan Rakyat Tanjung Aru, Dr Ritchie Jay Cheng bersama sayap belia parti itu, berlangsung di padang utama pulau bermula 2 Ogos, dengan matlamat memupuk gaya hidup sihat, mengeratkan hubungan masyarakat dan memberi ruang kepada bakat bola sepak baharu.
Sokongan penduduk tempatan mencetus suasana meriah dan kompetitif sepanjang kejohanan. Pasukan Ranger muncul juara selepas menewaskan lawan dalam perlawanan akhir yang sengit, sekali gus membawa pulang trofi dan hadiah.
Semua pasukan pemenang diberi penghargaan atas usaha, disiplin dan semangat kesukanan.
Menurut Dr Ritchie, kejohanan itu menjadi wadah membentuk semangat berpasukan, disiplin dan perpaduan dalam kalangan belia.
“Pulau Gaya kaya dengan bakat. Inisiatif seperti ini penting untuk membuka potensi mereka,” katanya sambil menegaskan ia selari dengan komitmen Gagasan Rakyat Tanjung Aru memperkasa belia, memupuk perpaduan dan menyokong visi Sabah Maju Jaya melalui pembangunan sukan di peringkat akar umbi.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan solidariti penuh terhadap keluarga dan rakan-rakan mendiang Zara Qairina, menyifatkan pemergian remaja itu sebagai kehilangan besar yang menyentuh hati rakyat Sabah.
“Kami berdiri teguh menuntut keadilan untuk Zara dan supaya proses undang-undang dilaksanakan secara telus, adil dan tanpa lengah,” katanya.
Sepanjang acara, beberapa sepanduk bertulis “Justice For Zara” turut kelihatan.






