KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan melindungi mana-mana individu yang terlibat dalam salah laku, sebaliknya komited untuk memastikan setiap siasatan dan pendakwaan dijalankan secara adil dan telus berlandaskan undang-undang, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Datuk Nizam menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor yang menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan campur tangan dalam mana-mana kes siasatan atau pendakwaan terhadap ADUN, termasuk dua wakil rakyat yang sedang berdepan pertuduhan baru-baru ini.
“Prinsip ini adalah bukti jelas bahawa kerajaan Sabah hari ini ditadbir berasaskan integriti, kebertanggungjawaban dan penghormatan terhadap undang-undang – bukan sentimen, tekanan politik atau kepentingan individu,” katanya.
Datuk Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah dan Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah, menegaskan bahawa kes melibatkan dua ADUN tersebut adalah bersifat peribadi dan perlu dibiarkan berjalan mengikut proses mahkamah tanpa sebarang gangguan politik.
Beliau turut menolak sebarang cubaan untuk menjadikan isu ini sebagai alat menggugat kestabilan kerajaan negeri yang sedang giat berusaha untuk membangunkan Sabah.
“GRS tidak pernah menutup kesalahan, jauh sekali melindungi mana-mana individu yang terlibat dalam salah laku. Tetapi kita juga tidak akan membiarkan kes ini dijadikan senjata politik oleh pihak berkepentingan,” katanya.
Dalam kenyataan yang sama, Datuk Nizam mengingatkan semua pihak agar menghormati prinsip “seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah” dan memberi ruang kepada mahkamah untuk menjalankan tugasnya secara bebas dan saksama.
“Setiap individu berhak mempertahankan diri. Kita wajib berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang,” tambah beliau.
Kerajaan negeri di bawah pimpinan GRS, jelasnya, akan terus berfungsi seperti biasa dan tidak akan tergugat dengan sebarang cubaan menggoyahkan kestabilan politik.
“Fokus kita tetap kepada pembangunan, pelaburan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” tegasnya.






